Bahasa Malaysia | English  

UCAPAN MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM 2008 'MENGEJAR KECEMERLANGAN PERKHIDMATAN AWAM'

Oleh: DATO' SERI ABDULLAH BIN HAJI AHMAD BADAWI PERDANA MENTERI MALAYSIA
Tempat: PUSAT KONVENSYEN ANTARABANGSA PUTRAJAYA (PICC), PUTRAJAYA
Tarikh: 28/01/2008

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Dan Salam Sejahtera

Yb Menteri-Menteri Kabinet

Y.Bhg. Tan Sri Mohd Sidek Hassan
Ketua Setiausaha Negara

Ahli-Ahli Yang Berhormat

Pegawai-Pegawai Tinggi Kerajaan Persekutuan Dan Kerajaan Negeri

Dif-Dif Jemputan

Tuan-Tuan, Puan-Puan, Para Hadirin Yang Saya Hormati Sekelian

Mukaddimah

1. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat allah s.w.t. kerana dengan izin dan limpah kurnia-nya jua, kita dapat bertemu di majlis ini yang biasanya di adakan pada awal tahun baru. Ianya memberikan saya kesempatan untuk berucap dan berpesan sedikit kepada anggota perkhidmatan awam, dan juga kepada seluruh rakyat jelata.

2. Seperti tahun-tahun yang telah berlalu, tahun 2008 pasti akan membawa pelbagai cabaran dan dugaan. Namun dengan berkat usaha kita semua, saya pasti yang tahun ini juga akan membawa hasil dan kejayaan yang kita kehendaki, insya’allah.

Teruskan usaha ke arah perkhidmatan awam kelas pertama

tuan-tuan dan puan-puan sekelian,

3. Pada saya, tahun 2007 merupakan satu fasa baru bagi perkhidmatan awam. Benar, perkhidmatan awam senantiasa melaksanakan usaha-usaha penambahbaikan. Namun saya merasakan tahun 2007 telah menunjukkan permulaan satu iltizam dan fokus baru bagi perkhidmatan awam.

4. Setelah saya bercakap tentang kedudukan malaysia dalam laporan ‘doing business’ bank dunia di majlis mappa tahun lalu, pasukan petugas khas pemudahcara perniagaan atau pemudah telah ditubuhkan. Kini sektor awam, bersama rakan-rakan sektor swasta pemudah, bertekad dan berusaha untuk menambahbaik persekitaran perniagaan negara, lalu melonjakkan kedudukan malaysia ke tangga sepuluh teratas di dalam laporan tersebut. Pelbagai usaha lain, seperti penambahbaikan “one-stop centre” dan pemakaian sijil “C.C.C.” di peringkat kerajaan tempatan, turut diperkenalkan. Pada tahun 2007 juga, kerajaan telah melaksanakan pelarasan gaji untuk menjadikan perkhidmatan awam lebih menarik dan kompetitif.

5. Pada tahun 2007, kebanyakan bil-bil bayaran kerajaan kepada pembekal barangan dan perkhidmatan berjaya dibayar dalam tempoh 14 hari. Daripada jumlah ini, 70 peratus daripada bayaran tersebut dilunaskan dalam tempoh 7 hari. Pencapaian ini jelas menunjukkan tahap kemampuan sektor awam; yang berjaya mencapai matlamat tanpa penambahan tenaga atau peruntukan kewangan, hanya berbekal dengan sasaran serta azam yang kukuh. Ia adalah bukti jelas keprihatinan sektor awam terhadap pengurusan ekonomi negara. Bayaran yang cepat membolehkan ahli-ahli perniagaan menggerakkan perniagaan mereka, sekaligus meningkatkan kemajuan ekonomi dan kesejahteraan negara. “facilitate, not frustrate”, itulah yang telah saya sebut berkali-kali. Perkhidmatan awam telah jelas menunjukkan keupayaan serta kemampuan mereka bagi memudahcara pembayaran bil dan beberapa penambahbaikan yang lain.

6. Sepanjang tahun 2007 juga, saya telah membaca dalam pelbagai akhbar, artikel dan wawancara oleh K.S.N. dan ketua-ketua jabatan, yang telah banyak menerangkan inisiatif-inisiatif yang sedang diambil di dalam sektor awam. Di lif-lif bangunan kerajaan pula, saya melihat poster-poster yang memaparkan mesej “perkhidmatan awam: business not as usual”.

7. Pasti sekali, tahun 2007 merupakan permulaan suntikan satu nafas baru bagi perkhidmatan awam. Sudah tentu, masih banyak lagi yang perlu diusahakan untuk kita dikenali sebagai antara perkhidmatan awam yang paling cemerlang di dunia. Namun usaha-usaha di tahun 2007 adalah permulaan yang amat memberangsangkan. Pihak pentadbiran, media serta orang ramai dapat merasakan satu perubahan positif dan dengan itu, saya ingin mengucapkan syabas kepada warga perkhidmatan awam yang telah bekerja keras melahirkan perubahan ini. Justeru peranan perkhidmatan awam sebagai ‘rakan kongsi’ anggota pentadbiran serta sektor swasta semakin terserlah.

8. Bagi tahun 2008, saya yakin tuan-tuan dan puan-puan bersedia untuk membawa usaha penambahbaikan ini ke tahap yang lebih baik lagi. Jika tahun 2007 merupakan titik permulaan, tahun 2008 harus menjadi fasa pemerkasaan. Mengulangi standard yang sudah dicapai bukan kecemerlangan. Peningkatan dalam standard dan pencapaian, hingga setaraf dengan mereka yang terbaik atau “best in its class” – itulah kecemerlangan.

9. Kita perlu sentiasa mengingatkan diri kita bahawa negara-negara lain tidak berpeluk tubuh, tidak berdiam diri. Negara-negara lain – terutamanya negara-negara membangun seperti China, India dan Vietnam – sentiasa mengejar pembangunan dan penambahbaikan. Negara-negara yang sudah membangun pula semakin mantap mempertahankan tahap daya saing mereka. Oleh kerana itu, kita tidak boleh mudah berpuas hati; di sepanjang masa kita harus menokok tambah usaha-usaha yang lepas dan menuju ke arah penambahbaikan demi penambahbaikan. Kita harus meneruskan usaha sehingga mencapai standard kelas pertama dalam perkhidmatan awam.

10. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada ketua setiausaha negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, atas komitmen dan dedikasi beliau terhadap matlamat ini. Malah, keprihatinan ini telah dijadikan satu janji bagi keseluruhan perkhidmatan awam, yang diumumkan baru-baru ini kepada rakyat malaysia. “satu perkhidmatan, satu penyampaian, (“one service, one delivery”), ‘no wrong door policy’”.

11. Ini merupakan komitmen yang amat dialu-alukan. Saya cukup bangga perkhidmatan awam begitu proaktif dengan mengambil inisiatif untuk mengumumkan komitmen ini. Inilah sebahagian daripada perubahan berterusan yang dilaksanakan, dan saya menyokongnya seratus peratus. Saya berharap komitmen ini diterjemahkan kepada pelaksanaan oleh semua agensi kerajaan. Jika ia benar-benar dilaksanakan, standard penyampaian perkhidmatan awam akan meningkat di setiap kementerian, setiap jabatan, setiap agensi dan setiap pihak berkuasa tempatan. Perkhidmatan awam akan menjadi perkhidmatan yang sesungguhnya berjiwa rakyat dan berteraskan pelanggan.

12. Sekali lagi, saya ingin meminta anggota perkhidmatan awam untuk mengutamakan pelaksanaan ke arah menjadikan perkhidmatan awam sebuah perkhidmatan kelas pertama. Janganlah disia-siakan momentum perubahan ini, malah perhebatkanlah lagi usaha saudara-saudari supaya impaknya dapat dilihat dan dirasai. Bagi tahun 2008, bertindaklah dengan tekun. Kertas-kertas mesyuarat harus mengutamakan tindakan, bukan ‘untuk perhatian’ sahaja. Dan setelah berbincang atau bermesyuarat atau berbalas surat, bertindaklah dengan tekun. Biarlah keputusan dan tindakan mendahului kerja-kerja kita.

Fokus kepada pengukuran impak

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekelian,

13. Sebagaimana kita maklum tahun ini merupakan tahun kajian separuh penggal rancangan malaysia kesembilan. Pada tahun ini, kita akan menilai pencapaian kita berbanding perancangan serta sasaran. Kita akan mengkaji sejauh mana usaha kita menzahirkan kelima-lima teras misi nasional. Kita akan melihat semula jika program-program di bawah rancangan malaysia kesembilan benar-benar memenuhi sasaran dan memberi impak kepada rakyat dan negara seperti kita hasratkan.

14. Bagi teras ketiga misi nasional, iaitu ‘menangani jurang sosioekonomi’, saya amat gembira untuk menyatakan di sini bahawa hasil yang positif telah dicapai. Statistik awalan ‘household income survey’ tahun 2007 yang dijalankan oleh unit perancang ekonomi menunjukkan bahawa kadar kemiskinan telah berjaya dikurangkan daripada 5.7 peratus pada tahun 2004 kepada 3.5 peratus pada tahun 2007. Kemiskinan tegar telah dikurangkan daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus, iaitu semakin hampir kepada matlamat kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang tahun 2010.

15. Jurang pendapatan antara kawasan luar bandar dengan kawasan bandar berkurangan daripada nisbah pendapatan 1 kepada 2.11 pada tahun 2004, kepada 1 kepada 1.99 pada tahun 2007. Dengan itu, sasaran pengurangan jurang pendapatan di antara bandar dengan luar bandar di akhir rancangan malaysia kesembilan telah berjaya dicapai tiga tahun lebih awal. Berikutan perkembangan ini, jurang di antara kaum juga turut berkurangan. Jurang pendapatan antara kumpulan bumiputera dan kumpulan cina berkurangan daripada 1 kepada 1.64 dalam tahun 2004, kepada 1 kepada 1.52 pada tahun 2007. Jurang pendapatan di antara kumpulan bumiputera dan kumpulan india berkurangan daripada 1 kepada 1.27, kepada 1 kepada 1.23. Pada masa yang sama, jurang pendapatan antara kumpulan india dan kumpulan cina turut berkurangan, daripada 1 kepada 1.28, kepada 1 kepada 1.23.

16. Kajian unit perancang ekonomi ini akan dimuktamadkan bulan Mac ini. Namun saya berasa cukup yakin bahawa angka-angka muktamad kelak akan menunjukkan perkembangan yang positif.

17. Pencapaian ini menunjukkan betapa pentingnya kita menumpukan perhatian kepada kesan atau hasil daripada program-program yang dilaksanakan. Jika angka muktamad nanti menunjukkan bahawa kemiskinan tegar hanya 0.7 peratus daripada jumlah penduduk malaysia, jentera pentadbiran kerajaan harus berusaha mengenalpasti siapa dan di mana baki keluarga kemiskinan tegar itu berada. Jentera pentadbiran harus melihat kembali program-program yang tersedia dan membuat penambahbaikan agar sasaran kita akan tercapai. Begitu juga dengan program-program lain seperti pengurangan jenayah, pemerkasaan sekolah kebangsaan dan lain-lain lagi.

18. Kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak 200 Bilion Ringgit di bawah rancangan malaysia kesembilan. Setelah dua tahun rancangan malaysia kesembilan dilancarkan, prestasi perbelanjaan masih perlu diperbaiki.

19. Kesan kepada pembangunan negara adalah amat besar. Kelambatan agensi-agensi kerajaan melaksanakan projek-projek pembangunan akan merugikan rakyat dan negara.

20. Maka di bawah kajian separuh penggal rancangan malaysia kesembilan, saya meminta agensi-agensi kerajaan melipatgandakan usaha mereka untuk melaksanakan projek-projek pembangunan. Usaha dan tindakan yang lebih gigih perlu dilakukan oleh ketua-ketua setiausaha kementerian, ketua-ketua jabatan dan agensi, untuk memastikan projek-projek itu dilaksanakan dengan berkesan dalam tempohmasa yang dijanjikan. Pelaksanaan projek akan menjadi salah satu K.P.I. (“key performance indicator”) bagi ketua-ketua setiausaha kementerian dan ketua-ketua jabatan.

21. Prestasi kementerian atau jabatan atau agensi di bawah kepimpinan tuan-tuan dan puan-puan akan diukur dengan kejayaan tuan-tuan dan puan-puan melaksanakan projek-projek yang memberi impak, bukan setakat berbelanja sekadar mencapai 100 peratus perbelanjaan. Itu cara pengurusan lama. Di bawah pendekatan baru pelaksanaan projek, saya mahu tuan-tuan dan puan-puan mengukur prestasi pelaksanaan dengan melihat kepada kesan projek itu kepada masyarakat.

22. Saya difahamkan unit penyelarasan pelaksanaan dan unit perancang ekonomi telah banyak menjalankan “road show” bagi memberi penerangan kepada kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mengenai penggunaan model untuk menilai projek-projek yang telah dilaksanakan. Saya berharap semua kementerian, jabatan dan agensi kerajaan akan menggunapakai model ini dalam menilai impak projek-projek mereka.

23. Disamping itu, saya percaya kejayaan pelaksanaan projek juga berkait rapat dengan peranan dan tanggungjawab syarikat-syarikat swasta, terutamanya kontraktor-kontraktor yang terlibat. Saya ingin menegaskan di sini bahawa syarikat-syarikat dan kontraktor-kontraktor yang diberikan projek oleh kerajaan perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk menyiapkan projek-projek mereka dengan cepat dan sempurna. Jika semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan projek bekerjasama dengan rapat, maka pelaksanaan projek itu akan menjadi licin dan berkesan. Kepada syarikat-syarikat dan kontraktor-kontraktor utama, tuan-tuan juga mempunyai tanggungjawab untuk membuat bayaran dengan cepat kepada kontraktor-kontraktor kecil (“sub-contractors”). Dengan cara ini wang pembangunan dapat dibelanjakan dengan berkesan, di samping dapat membantu syarikat atau kontraktor kecil untuk terus berdaya-maju dalam perniagaan mereka. Juga saya ingin ingatkan – janganlah guna anak syarikat sendiri sahaja sebagai sub kontraktor. Berilah juga kerja sub kontraktor kepada kontraktor-kontraktor kecil yang lain.

Koridor pembangunan ekonomi

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekelian,

24. Dalam tahun 2007, kerajaan telah melancarkan tiga koridor pembangunan ekonomi iaitu Wilayah Pembangunan Iskandar (I.D.R.), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (N.C.E.R.) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (E.C.E.R.). Esok kita akan menyaksikan Pelancaran Koridor Sabah pula.

25. Bagi I.D.R., kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak 4.3 Bilion Ringgit dan limpahan pelaburan dianggarkan sebanyak 105 Bilion U.S. Dolar dalam jangka masa 20 hingga 25 tahun.

26. Bagi N.C.E.R. pula, pelaburan kerajaan dan swasta dianggarkan sebanyak 177 Bilion Ringgit. Dari jumlah ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak 53.1 Bilion Ringgit dalam tempohmasa sehingga 2025. Peluang pekerjaan yang akan diwujudkan adalah sebanyak 500,000 menjelang 2012. Keluaran Dalam Negara Kasar (K.D.N.K.) kawasan N.C.E.R. dijangka meningkat lebih empat kali ganda, dari 52.7 Bilion Ringgit dalam tahun 2005, kepada 214 Bilion Ringgit dalam tahun 2025.

27. Bagi E.C.E.R. pula, peruntukan bagi memajukan kawasan ekonomi ini dianggarkan sebanyak 115 Bilion Ringgit. Dalam tempuh 12 tahun, peluang pekerjaan yang dijangka diwujudkan adalah sebanyak 560,000. Pertumbuhan K.D.N.K. bagi E.C.E.R. dijangka meningkat dari 5.7 peratus dalam tahun 2005 kepada 7.2 peratus menjelang 2020.

28. Ketiga-tiga koridor ini akan menjana pertumbuhan ekonomi di wilayah masing-masing, dan mampu mewujudkan lebih daripada 1 juta peluang pekerjaan kepada rakyat malaysia. Anak-anak tempatan tidak akan menghadapi masalah pekerjaan jika kita dapat melaksanakan pembangunan dengan terancang dan teratur.

29. Saya hendak melihat agensi-agensi kerajaan di peringkat persekutuan dan negeri bekerja rapat dengan sektor swasta bagi menjayakan pembangunan koridor-koridor tersebut. Saya mahu supaya kita bertindak secara kolektif, jujur, tulus dan telus bagi membawa pembangunan komprehensif kepada keseluruhan rakyat jelata.

30. Kerjasama yang erat, budaya memudahcara dan penyampaian perkhidmatan yang cekap akan menjamin kos pengendalian perniagaan yang kompetitif di malaysia. Negara kita mungkin kalah dari segi kos buruh berbanding negara-negara yang baru membangun, tetapi kita masih berdaya saing jika kos keseluruhan untuk menjalankan perniagaan adalah rendah. Perkhidmatan awam boleh melaksanakan banyak lagi usaha ke arah ini, seperti memudahkan urusniaga tanah, mengurangkan jumlah lesen, dan lain-lain lagi. Langkah-langkah ini hendaklah dilihat sebagai satu inisiatif holistik ke arah mewujudkan suasana perniagaan yang kondusif. Jika tindakan-tindakan ini dibuat secara bersepadu saya yakin malaysia mampu bersaing dengan mana-mana negara di dunia. Tambahan pula meningkatkan kecekapan akan menghapuskan rasuah.

Kesepakatan bagi mencapai kecemerlangan

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekelian,

31. Saya yakin kerjasama erat di antara anggota pentadbiran, anggota perkhidmatan awam dan juga sektor swasta dalam mendukung visi dan misi negara akan terus membawa kesejahteraan kepada rakyat. Kita telah membuktikan kesepakatan ini sejak 50 tahun yang lalu dan tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh melanjutkan lagi kesepakatan ini untuk tempoh masa yang akan datang.

32. Saya dan rakan-rakan di dalam kabinet serta anggota pentadbiran yang lain mempunyai tanggungjawab besar dalam mempastikan kejayaan negara. Saya melihat tuan-tuan dan puan-puan di dalam sektor awam sebagai ’rakan kongsi sejati’ dalam merealisasikan impian dan aspirasi tersebut.

33. Kesepakatan tidak hanya terhad kepada kesepakatan antara anggota pentadbiran dan anggota perkhidmatan awam sahaja. Jaringan kesepakatan ini perlu melibatkan semua pihak iaitu kerajaan, penjawat awam, sektor swasta, ahli akademik, N.G.O. dan semua pihak yang berkepentingan. Kesepakatan minda dan tindakan adalah amat penting untuk kita membangunkan rakyat dan negara ke arah pencapaian visi dan misi kita.

34. Saya berbangga kerana hari ini saya melihat para penjawat awam lebih bersikap positif dan bersedia membantu pihak swasta dengan sentiasa berusaha memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan mereka. Perkhidmatan awam semakin memahami bahawa sektor swasta menyumbang kepada hasil negara dan ke arah pembangunan ekonomi negara serta peningkatan kesejahteraan rakyat, termasuk bagi pegawai-pegawai kerajaan sendiri.

Penutup

Tuan-Tuan Dan Puan-Puan Sekelian,

35. Marilah kita sama-sama menjadikan sejarah kegemilangan 50 tahun negara sebagai iktibar dan anjakan untuk kita bergerak ke arah fasa 50 tahun akan datang yang lebih gemilang. 50 tahun telah berlalu dan tahun 2057 secara relatifnya bukanlah suatu tempoh yang lama. Mungkin sebahagian daripada saudara-saudari masih hidup ketika itu, dan dapat menyaksikan pencapaian dan kecemerlangan negara.

36. Kita mahu negara kita terus berdaya saing dalam persaingan di arena global. Maka itu kita harus bekerja keras, dengan harapan kita akan dapat meninggalkan tradisi cemerlang buat generasi akan datang. Kita berharap usaha hari ini dapat mengangkat maruah dan martabat bangsa dan negara di hari esok.

37. Tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita sama-sama bekerja dengan tekun; marilah kita sama-sama tingkatkan permuafakatan kita; dan marilah kita sama-sama perbaiki kelemahan dan kekurangan masa lalu, agar tahun 2008 dapat menjanjikan kejayaan masa depan yang lebih cemerlang buat negara.

Sekian, Terima Kasih.