Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh
Salam Sejahtera
Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong
Tetamu-tetamu Negara
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu berserta Duli-Duli Yang Maha Mulia Sultanah, Raja Perempuan, Tengku Ampuan dan Raja Permaisuri
Tuan-Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri dan Toh Puan
Tuan-tuan Yang Terutama Para Perwakilan Asing
Saudara-saudari Warga Malaysia yang dikasihi
1. 31 Ogos 1957 adalah tarikh keramat di bumi ini. Pada tarikh tersebut, Tanah Melayu dilimpahkan nur oleh Allah Subhanahu Wata’ala. Dengan berkat kalimah Bismillahi Rahmani Rahim, Persekutuan Tanah Melayu diisytiharkan MERDEKA. Teriakan MERDEKA dilaungkan tujuh kali oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra. Teriakan MERDEKA bergema di stadium ini. Gemanya sampai ke seluruh negara, gemanya merentas gunung – menyeberangi lautan. Gemanya hidup sepanjang waktu – segar sepanjang zaman. Gema MERDEKA kemudiannya merentas Laut Cina Selatan; disahut di bumi Borneo, lalu enam tahun kemudiannya tertubuhlah Malaysia.
2. MERDEKA bukan sekadar kata keramat, mengandungi tujuh huruf - memiliki tiga suku kata. MERDEKA adalah hasil dari azam kukuh untuk menebus maruah bangsa; MERDEKA adalah hasil dari perjuangan suci untuk membela tanah pusaka. MERDEKA adalah puncak pencapaian satu perjuangan untuk memulakan perjuangan yang baru. MERDEKA terbina atas tiang sejarah, untuk membina sejarah baru. MERDEKA adalah milik berharga negara bangsa; berdosa bagi mereka yang mempersia-siakannya; biadab bagi mereka yang tidak menghormatinya.
3. Di Stadium Merdeka ini, laungan MERDEKA digemakan lima puluh tahun lalu. Laungan itu telah digemakan selama lima puluh tahun, laungan itu akan terus digemakan selama-lamanya, selagi adanya bulan dan selagi adanya matahari. Laungan itu bukan sekadar disahut dengan laungan, laungan itu diberikan erti – diberikan makna, diperlengkap dengan tindakan - diperkemas dengan gerakan, berpandukan resipi untuk membangunkan sebuah negara bangsa agar benar-benar berdaulat dan mulia, maju dan makmur, bersatu dan berpadu, dihormati dan disegani.
4. Hari ini kita mewarisi sebuah negara merdeka; kita wajib bersyukur atas rekod pencapaian selama lima puluh tahun lalu. Kejayaan kita membina sebuah negara merdeka dan berdaulat, aman dan makmur, bersatu dan berpadu, dihormati dan disegani. Kita wajib bersyukur, bahawa warga Malaysia dari pelbagai agama, kaum dan budaya telah berpadu usaha - bersatu tenaga, membina satu warga – membina satu negara yang kini menjadi teladan kejayaan. Kita wajib bersyukur kerana jutaan rakyat telah dapat kita keluarkan dari lembah kemiskinan Kita wajib bersyukur atas kemakmuran yang dinikmati oleh begitu ramai warga; kemakmuran yang masih menjadi impian kepada begitu ramai manusia di banyak negara di dunia ini. Kita wajib bersyukur kerana dari sebuah negara yang mempunyai pelbagai sebab untuk bersengketa, dari sebuah negara yang menghadapi ancaman dari dalam dan luar, kita berjaya membina negara yang aman dan stabil, makmur dan sejahtera.
5. Kejayaan ini adalah hasil usaha pelbagai pihak. Kita bersyukur kerana memiliki barisan pemimpin berwawasan jauh, barisan pemimpin yang menumpukan fikiran dan mengarahkan usaha untuk membangunkan negara – membangunkan warga; bermula dengan pimpinan Tunku Abdul Rahman, lalu ditingkatkan di bawah pimpinan Tun Abdul Razak, diteruskan di awah pimpinan Tun Hussein Onn, dilonjakkan di bawah pimpinan Tun Dr. Mahathir.
6. Kita menghargai semangat keyakinan yang berjaya disemaikan oleh para pejuang untuk membebaskan warga dari kongkongan pemikiran kolonialisme. Kita menghargai pemimpin pelbagai komuniti yang telah mempamerkan wawasan, hikmah dan ideal untuk membina gagasan yang kukuh lagi berpadu, gagasan yang adil lagi saksama, gagasan yang aman lagi makmur.
7. Kita menghargai jasa dan perkhidmatan barisan kakitangan perkhidmatan awam, para pendidik dan para guru, badan kehakiman dan badan perundangan, masing-masing melaksanakan tanggung jawab. Masing-masing memenuhi amanah membantu negara mencapai tahap kejayaan di hari ini. Demikian juga penghargaan negara kepada sektor swasta, sektor industri, sektor perkhidmatan, sektor perniagaan, sektor kewangan dan pelbagai sektor lagi yang telah membantu menjanakan pertumbuhan ekonomi dapat berlaku secara pesat. Negara menghargai peranan segenap lapisan warga di desa dan di kota, mahupun pekerja biasa - peniaga kecil, pemandu teksi – penarik beca, demikian juga petani dan nelayan, peneroka dan penternak atas sumbangan bersama mereka membangunkan negara. Negara menghargai peranan media berjaya mengimbangkan tanggung jawab terhadap negara terutama memenuhi tuntutan dalam era teknologi maklumat. Negara amat menghargai perkhidmatan Angkatan Tentera dan Polis Diraja Malaysia memenuhi tanggung jawab mempertahankan kemerdekaan dan mengawal keamanan negara; dalam melaksanakan amanah, ramai anggota mereka yang terkorban.
8. Usaha mengisi kemerdekaan menuntut kepada perjuangan yang berterusan. Tidak ada batas waktu bagi perjuangan untuk mengisi kemerdekaan. Tidak ada noktah untuk melaksanakan usaha meningkatkan kualiti hidup dan memakmurkan negara. Setiap hari, kita dan generasi selepas kita perlu terus berfikir – perlu terus berusaha – perlu terus bekerja untuk memajukan negara.
9. Usaha mewarna dan mencorak masa hadapan negara terletak pada iltizam dan kesungguhan warga. Warga muda perlu diperlengkapkan untuk berupaya meneruskan perjuangan. Di bahu warga muda akan kita letakkan harapan agar negara terus bersatu - terus berpadu. Di bahu warga muda akan kita galaskan amanah agar negara terus makmur - terus sejahtera. Kepada mereka akan kita wariskan tanggungjawab untuk terus memajukan negara. Tuhan melimpahkan bumi ini dengan kekayaan dan pelbagai peluang. Warga muda wajib merebut peluang yang terbentang luas dengan membina keupayaan dan mencipta kejayaan lebih cemerlang – lebih gemilang supaya negara menjadi terbilang.
10. Kemerdekaan negara diperjuangkan secara bersama oleh warga Malaysia pelbagai kaum. Kejayaan Malaysia telah dibina atas usaha bersama. Negara Malaysia akan terus dibangunkan secara bersama dalam semangat yang tidak membenarkan berlakunya tafsiran sempit dari segi identiti warga, tidak membenarkan berlakunya amalan ekstremisme agama, tidak mengizinkan berlaku ketidakadilan di kalangan warga dan tidak mengizinkan tercetusnya sebarang kebimbangan terhadap jaminan masa hadapan mana-mana warga. Bumi dan langit Malaysia adalah tempat bertapak – tempat berteduh setiap warga Malaysia, Bumi dan langit Malaysia menjanjikan tapak kukuh dan langit cerah untuk setiap warga dapat hidup bersatu penuh muafakat.
11. Malaysia akan terus dibina secara bersama, berteraskan semangat Rukun negara - berpandukan semangat yang terkandung dalam Perlembagaan. Malaysia akan terus menghidupkan pemikiran dan jiwa merdeka di kalangan warganya. Malaysia akan terus menjadi sebuah negara moden, sebuah negara yang warganya kaya dengan pengetahuan, bersifat inovatif, bersikap keusahawanan, berdaya saing, berupaya menandingi mereka yang terbaik di dunia. Malaysia akan terus memastikan ia adalah sebuah negara yang aman dan stabil, mengamalkan kesederhanaan serta saling memahami dan saling menghormati dalam adunan warga pelbagai budaya. Malaysia akan terus berpegang kepada konsep keadilan dan kesaksamaan, mengusahakan kemiskinan dihapuskan dan memastikan kemakmuran dapat dinikmati secara bersama. Malaysia akan menjunjung prinsip demokrasi dan menguruskan negara secara bijak untuk kesejahteraan warga. Malaysia akan berusaha membina persekitaran yang sihat. Malaysia akan berusaha merangkaikan tali perhubungan baik dengan semua negara dan tidak akan melakukan tindakan untuk mencetuskan permusuhan. Malaysia akan berusaha membawa suara keamanan dan suara kedamaian dalam atur urusan antarabangsa.
12. Untuk itu kemerdekaan negara dan kemerdekaan warga perlu terus dipertahankan. Jiwa merdeka perlu terus di semai. Lima puluh tahun pertama telah berlalu tadi malam. Hari ini merupakan hari pertama untuk perjalanan lima puluh tahun yang akan datang. Hari ini, saya berdiri di pentas negara, memikul amanah, untuk membawa negara dan warga melangkah perjalanan memasuki fasa lima puluh tahun kedua kemerdekaan negara.
13. Bersamalah kita, bersumpah setia, untuk tidak membenarkan bumi dan minda kita dijajah semula. Bersamalah kita membara puntung-puntung perjuangan; untuk kita himpunkan; untuk kita terus menyemarakkan semangat kemerdekaan; untuk kita terus nyalakan obor kemerdekaan. Sama-samalah kita laung dan gemakan semula kalimah keramat; MERDEKA! |