Bahasa Malaysia | English  

“KITA BOLEH KENALPASTI PEGAWAI YANG KORUP” — WAWANCARA BERSAMA KETUA PENGARAH KASTAM

HAMIDAH ATAN berwawancara bersama Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Abdul Rahman Abdul Hamid tentang cara beliau menangani masalah ejen kastam yang menyeleweng serta pegawai kastam yang korup.

S: Datuk pernah menyebut mungkin terdapat lebih kurang 100 ejen ‘forwarding’ yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan atau pengelakan cukai di Pelabuhan Klang, dan ada di antara ejen ini yang melakukan kesalahan ini sebanyak 132 kali dalam sebulan. Apakah tindakan yang telah diambil?

J: Tindakan telah diambil terhadap ejen yang tidak bertanggungjawab ini di bawah Akta Kastam 1967. Beberapa ejen telah pun dikenakan tuduhan mahkamah. Baru-baru ini, lima ejen telah disabit kesalahan oleh pihak mahkamah. Mana-mana ejen Kastam yang didapati bersalah akan dimasukkan ke dalam senari hitam dan lesen mereka akan dibatalkan.

Kita juga telah mencatitkan beberapa syarikat (ejen) tersebut ke dalam senarai hitam. Malahan, ada di antara mereka yang telah kehilangan lesen, atau digantung lesen mereka. Pegawai kami telah memantau aktiviti-aktiviti syarikat berkenaan.

Jabatan kami telah memperkenalkan Inisiatif Pengesahan Kastam, dan projek percubaan bagi inisiatif ini telah dijalankan di Johor pada bulan September. Hasil percubaan tersebut sangat memberangsangkan. Sistem pengurusan-risiko ini mengkaji data impot, dan meneliti rekod prestasi syarikat berkenaan.

Sekiranya seorang ejen Kastam mempunyai rekod yang baik, ‘consignment’ mereka tidak diperiksa tetapi bagi mereka yang mempunyai rekod risiko sederhana, kami akan jalankan pemeriksaan dokumen. ‘Consignment’ milik syarikat berisiko tinggi pula akan diimbas dan dikenakan pemeriksaan fizikal.

S: Mengapakah Badan Pencegah Rasuah tidak dilibatkan dalam hal ini?

J: Kami sememangnya mempunyai kerjasama yang erat dengan agensi-agensi penguatkuasaan seperti BPR dan Polis. Malahan, beberapa buah jawatankuasa telah dibentuk bagi mengkaji cara-cara untuk memperkukuhkan lagi pengawasan Kastam, terutamanya di Pelabuhan Klang.

S: Terdapatkah pegawai Kastam yang terlibat?

J: Memang tidak dinafikan ada di antara pegawai kami yang terlibat, tetapi jumlah mereka tidak ramai. Terdapat jauh lebih ramai bilangan pegawai Kastam yang bekerja keras, secara jujur, ikhlas dan berintegriti, dan merekalah yang telah banyak membantu mendapatkan hasil pungutan cukai Kastam yang tinggi setiap tahun.

Kami anggap pegawai yang korup sebagai ‘jaga’ semata-mata, tetapi oleh kerana mereka tidak jujur, mereka sebenarnya menyebabkan ‘kematian’ beribu-ribu rakan sejawatan mereka yang lain.

Walaupun jumlah mereka tidak ramai, kesan akibat perbuatan mereka adalah sangat besar. Dan sekiranya tiada tindakan diambil, bukan sekadar Jabatan ini sahaja, malahan seluruh negara akan turut terjejas. Inilah sebab mengapa kami sentiasa menjalankan penyiasatan dalaman kami sendiri bagi mengenalpasti kelemahan-kelemahan atau kealpaan yang mungkin wujud dalam Jabatan.

Sekiranya kami dapati ada sebarang sistem atau peralatan yang tidak berfungsi dengan betul, kami akan membetulkannya. Begitu juga dengan pegawai Kastam yang korup. Mereka akan kami jatuhkan hukuman, atau khidmat mereka akan ditamatkan.

Usaha-usaha memperbetulkan sebarang kejanggalan atau masalah yang wujud dijalankan secara berterusan. Pegawai yang baru perlu menjalani program motivasi bagi menimba pengetahuan agar mereka mempunyai kefahaman yang lebih mendalam tentang apa yang diharapkan daripada mereka.

S: Dengan kemudahan alat pengimbas dan pelbagai jenis peralatan yang lain, mengapa masih berlaku kes-kes penyeludupan atau cubaan mengelak duti Kastam?

J: Pegawai Kastam cuma manusia biasa. Hanya mereka yang benar-benar berdedikasi sahaja boleh membawa hasil yang baik. Rasuah dilakukan oleh pegawai-pegawai yang tidak bertanggungjawab. Alat pengimbas yang ada cuma boleh membantu para pegawai dalam tugas seharian mereka and memantapkan sistem penyampaian awam.

S: Apakan langkah-langkah pemulihan yang sedang diambil bagi mengatasi masalah ini?

J: Kami sedang mengambil langkah seperti memperkenalkan pelan tindakan ICTR (integrity, core business, technology and rakyat).

Dalam aspek "integrity", pelbagai kempen dan ceramah telah dan akan diadakan bagi menerapkan nilai-nilai moral yang tinggi, bukan sahaja di kalangan pegawai kami, bahkan keluarga mereka sekali.

Dalam aspek "core business", kami akan terus memperbaiki sistem dan peralatan yang kami gunakan. Sebagai contoh, kini kami mempunyai ‘Delta-tax’ bagi mempercepatkan proses audit pungutan cukai, dan ‘CD-Tech’ bagi mempercepatkan pemperosesan lesen segera.

Dalam aspek "technology" pula, kami akan memperolehi peralatan berkaitan tugas Kastam dan peralatan seperti komputer.

Pertandingan serta projek komuniti menarik yang bertujuan membantu membenteras penyeludupan, juga akan dirancang sebagai sebahagian daripada aspek "rakyat". Kita juga telah mula menjalankan progam-program mengindahkan kawasan pejabat dan perumahan Kastam (bagi meningkatkan semangat pegawai Kastam).

S: Adakah sindiket penyeludupan antarabangsa yang wujud kini mempunyai pertalian dengan kumpulan pengganas?

J: Kita tidak mempunyai banyak maklumat mengenai sindiket antarabangsa. Tetapi memang ada sindiket (tempatan) yang dikaitkan dengan aktiviti ‘money laundering’ dan ‘gangsterism’.

Buat masa ini, kita tidak mempunyai sebarang maklumat terperinci mengenai hal ini (kaitan di antara sindiket antarabangsa dan pengganas).

S: Menurut Laporan Juruaudit Negara, Jabatan Kastam telah membeli sistem komputer bernilai RM500 juta, sedangkan sistem yang ada dan masih baru, bernilai RM200 juta, tidak digunakan sepenuhnya?

J: Jawapan untuk soalan ini telah pun diberikan kepada Jabatan Kewangan Negara.

S: Ada laporan yang mengatakan mercun dan bunga api bernilai RM8 juta telah dirampas. Apakah yang telah berlaku kepada rampasan tersebut?

J: Barang larangan ini telah dimusnahkan.

S: Berapakah jumlah yang dibelanjakan oleh Jabatan Kastam untuk majlis persaraan dan lain-lain majlis yang berkaitan?

J: Sejak tahun lepas, pihak Kastam tidak lagi mengadakan sebarang majlis perpisahan untuk pegawai kami, walaupun pegawai yang berjawatan tinggi. Malahan, apabila saya bersara pada bulan Oktober (tempoh khidmat Abdul Rahman telah dilanjutkan), tiada sebarang majlis makan malam atau majlis perpisahan diadakan. Saya di pejabat, menjalankan tugas seperti biasa.

Sebarang majlis rasmi akan diadakan hanya setelah mendapat kelulusan dari Jabatan Kewangan Negara. Kami jalankan apa yang diharapkan oleh kerajaan dari mana-mana jabatan awam – berjimat dalam perbelanjaan. Semua perbelanjaan kita adalah berdasarkan garispanduan dan standard kualiti yang digunakan dalam perkhidmatan awam.

sumber: New Sunday Times (25/11/2007; halaman 18)