Bahasa Malaysia | English  

RANG UNDANG-UNDANG PENTING DILULUSKAN DI DEWAN RAKYAT (2004-2007)

1 Rang Undang-undang Tatacara Jenayah (Pindaan) 2004 and Kanun Keseksaan (Pindaan) 2004

Dua rang undang-undang ini dibentangkan oleh Menteri Undang-undang dahulu, Menteri di Jabatan perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Sheikh Radzi Ahmad pada 15 Julai 2004. Penubuhan Suruhanjaya Pemilihan Parlimen bagi Pindaan ke atas Kanun Keseksaan dan Tatacara Jenayah diumumkan pada 19 Julai, 2004 bagi mengumpul pandangan pihak awam seluruh negara berkenaan pindaan terhadap rang undang-undang yang dicadangkan.

Antara pindaan yang disusulkan: penjara selama lima tahun sabit kesalahan mana-mana pesalah lelaki yang “menyakiti isterinya secara fizikal atau menakutkan isterinya dengan ancaman ke atas nyawanya, dengan tujuan memaksanya mengadakan hubungan seks.” Dan untuk kesalahan rogol yang mengakibatkan kematian mangsa, pesalah dikenakan penjara selama 15 hingga 30 tahun serta hukuman rotan.

Setelah kajian selama dua tahun dijalankan dan maklumbalas diterima daripada 67 organisasi dan 35 individu, rang undang-undang tersebut diluluskan pada 18 Julai, 2006, dan pindaan kepada Akta Tatacara Jenayah serta Kanun Keseksaan mula dikuatkuasakan pada 1 Jan, 2007.

Kedua-dua rang undang-undang 2004 ini dipinda lagi dengan susulan rang undang-undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2007 dan Tatacara Jenayah (Pindaan) 2007, yang memperbetulkan kesilapan catitan dan menambah titik noktah serta beberapa perkataan yang tertinggal.

2 Rang Undang-undang Penjara (Pindaan) 2007

Diluluskan pada 19 Dis, 2007, Seksyen 46A yang baru, memperkenalkan sistem ‘parole’ bagi mengurangkan kesesakan di dalam penjara dan membantu para pesalah yang telah dipulihkan menyesuaikan diri untuk kembali ke pangkuan masyarakat.

Pesalah yang dikenakan penjara minima selama satu tahun layak untuk ‘parole’ selepas menjalani setengah tahun hukuman penjara. Tetapi pesalah yang sabit jenayah berat seperti kesalahan seksual atau kesalahan di bawah Akta Penculikan, Senjata Api (Akta Penalti Lebih Berat), Dadah Merbahaya dan Akta Keselamatan Dalam Negeri tidak layak untuk menerima ‘parole’.

3 Rang Undang-undang Dagangan Spesis Terancam 2007

Apabila rang undang-undang yang lulus pada 19 Dis 2007 ini dikuatkuasakan, ia akan mengenakan penalti serta tempoh penjara ke atas mereka yang disabit kesalahan menjual-beli haiwan atau tumbuhan terpelihara.

Mengikut Konvensyen Antarabangsa Dagangan Spesis Haiwan dan Tumbuhan Terancam, yang dipersetujui Malaysia pada tahun 1977, rang undang-undang ini juga mengawal sebarang ekspot, ekspot-semula dan impot sepsis terancam.

Ianya bertujuan mengharamkan pembiakan haiwan liar dalam kurungan tanpa kebenaran. Pemberi maklumat akan diberi ganjaran atas bantuan mereka dalam mengesan atau membantu rampasan spesis terancam.

Penalti yang dikenakan termasuk denda antara RM100,000 hingga RM1 juta bagi individu, dan RM200,000 hingga RM2 juta bagi syarikat. Hukuman penjara boleh mencapai 7 tahun.

4 Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya 2007

Diluluskan pada 18 Dis, 2007, rang undang-undang ini membolehkan penubuhan Suruhanjaya Nasional bagi Orang Kurang Upaya.

Suruhanjaya tersebut memainkan peranan penting dalam perlaksanaan dasar Negara bagi mereka yang kurang upaya, dan membuat saranan berkaitan kepentingan, sokongan, perlindungan, penjagaan, pemulihan dan pembangunan mereka.

Sebuah Daftar Orang Kurang Upaya akan diadakan, dan akan diurus dan ditadbir oleh seorang pendaftar awam. Daftar tersebut akan mengumpul semua maklumat berkenaan komuniti kurang upaya dan mengeluarkan “Kad OKU” (Kad Orang Kurang Upaya) kepada mereka yang disahkan sebagai kurang upaya.

Rang Undang-undang ini juga menyatakan bahawa majikan perlu memastikan yang mempunyai pekerja kurang upaya agar memberi layanan, hak, serta persekitaran kerja yang baik dan adil, serta gaji yang sama berbanding rakan sekerja mereka yang tidak kurang upaya.

Rang undang-undang ini juga mempertanggungjawabkan pihak swasta dan badan bukan-kerajaan yang menawarkan penjagaan kepada orang kurang upaya agar menggaji pakar percakapan, pakar fisioterapi dan pakar ‘occupational therapist’ jika perlu.

5 Rang Undang-undang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (Pindaan) 2007

Rang Undang-undang ini, yang diluluskan pada 9 Mei 2007 membenarkan pasangan menyumbang jumlah minima RM50 sebulan ke dalam akaun pasangan masing-masing, and bagi anak-anak menyumbang ke dalam akaun ibubapa mereka.

Mereka yang berumur 55 ke atas akan dibenarkan membuat pengeluaran sebarang jumlah dari akaun mereka, pada kadar kekerapan yang mereka persetujui. Buat masa ini, penyumbang hanya boleh membuat pengeluaran penuh, pengeluaran tetap bulanan, atau pun pengeluaran dividen tahunan.

Ianya juga akan membolehkan penyumbang melaburkan wang mereka ke mana-mana institusi yang diluluskan oleh EPF, seperti yang ditawarkan oleh institusi kewangan dan syarikat insuran, serta ‘unit trust’ Amanah Saham, dengan syarat penyumbang mempunyai jumlah minima tertentu di dalam Akaun 1.

Mereka yang berumur 55 tahun ke atas dan masih bekerja perlu menyumbang 5.5 peratus gaji mereka ke dalam KWSP, sementara majikan mereka menyumbang sebanyak enam peratus.

Ianya juga mengenakan tempoh tamat selama enam bulan dari tarikh kematian ahli bagi membolehkan keluarga individu tersebut mendapatkan bayaran kematian sebanyak RM2,500. Tiada sebarang tempoh tamat dikenakan buat masa sekarang.

6 Rang Undang-undang ‘Anti-Trafficking in Persons’ 2007

Rang undang-undang ini mengenakan hukuman penjara antara tiga hingga 20 tahun, berserta pilihan atau tambahan denda sebanyak RM50,000 hingga RM500,000 ke atas mereka yang disabit kesalahan memperdagangkan manusia.

Ianya diluluskan pada 9 Mei 2007, berdasarkan Protokol Mencegah, Menindas dan Menghukum Pedagang Manusia, Terutamanya Wanita dan Kanak-Kanak, serta Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Jenayah Tersusun Antara-Negara.

Bagi memastikan pelindungan dan penjagaan lebih baik bagi individu yang diperdagang, pegawai dari Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diberikan latihan bagi menangani kes-kes seperti ini.

Mangsa dagangan manusia warganegara Malaysia juga akan ditempatkan dirumah perlindungan selama tempoh hingga dua tahun bagi melindung mereka daripada ‘ibu ayam’ dan sindiket pelacuran. Warga asing perlu tinggal di situ selama tiga bulan.

7 Rang Undang-undang Bukti Saksi Bawah Umur Bill 2007

Apabila ianya dikuatkuasakan, rang undang-undang ini, yang diluluskan pada 25 Jun 2007 akan membolehkan kanak-kanak bawah 16 tahun menjadi saksi di mahkamah tanpa perlu hadir di bilik perbicaraan dan dilihat oleh tertuduh. Ianya melindungi kanak-kanak dengan membolehkan mereka memberikan keterangan bukti di sebalik skrin, menerusi saluran televisyen atau rekod video.

Mahkamah juga mungkin mengarahkan agar pakaian rasmi hakim dan pegawai mahkamah, seperti gaun dan jaket, diabaikan ketika kanak-kanak hadir bagi memberikan keterangan.

Rang undang-undang ini, yang akan mempengaruhi kes-kes awam serta jenayah, juga membenarkan kanak-kanak tersebut ditemani seorang dewasa ketika member keterangan. Ini mungkin seorang dewasa yang dipercayai oleh kanak-kanak tersebut, seperti ibubapa, ahli keluarga atau pakar psikologi kanak-kanak.

8 Rang Undang-undang Akta Keadilan Jenayah (Pindaan) 2007

Rang undang-undang ini diluluskan tanpa sebarang debat pada 10 Mei 2007. Ianya menambah tempoh hukuman penjara seumur hidup dari 20 tahun kepada 30 tahun. Undang-undang yang disarankan adalah berlarutan daripada pindaan yang dibuat ke atas Kanun Keseksaan 2003, yang meningkatkan hukuman bagi kesalahan seperti sumbang mahram dan pembunuhan tanpa niat.

9 Rang Undang-undang Kerjaya Undang-undang (Pindaan) 2006

Diluluskan pada 5 Julai 2007, ianya menyingkirkan pengharaman bagi peguam yang mempunyai pengalaman kurang dari tujuh tahun daripada dilantik ke Majlis Peguam serta komiti bawahannya. Apabila ianya dikuatkuasakan, ianya juga akan mengurangkan jumlah korum yang diperlukan bagi mengadakan mesyuarat tahunan menjadi 500 orang, berbanding dengan kemestian satu perlima jumlah peguam yang ada.

Rang undang-undang ini juga telah dikritik oleh para peguam kerana sebarang tindakan disiplin tidak lagi perlu dikenakan kajian pengadilan oleh Mahkamah Tinggi.

10 Rang Undang-undang Buangan Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam 2007

Rang undang-undang ini diluluskan pada 4 Julai 2007. Ianya memberikan saranan bagi pengurusan buangan pepejal dan pembersihan awam, dan cara menangani caj yang akan dikenakan. Denda sebanyak RM5,000 akan dikenakan sekiranya tertuduh enggan membayar bil pungutan sampah dan lain-lain caj berkaitan. Denda tambahan sebanyak RM50 sehari akan dikenakan bagi hari-hari seterusnya kesalahan tersebut diteruskan.

Bagi mereka yang sabit kesalahan membuang buangan pepejal terkawal dengan cara yang dilarang, ianya juga mengenakan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak lebih daripada RM100,000, atau hukuman penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun, atau kedua-duanya sekali,.

Dan sesiapa sahaja yang tidak membersihkan buangan pepejal terkawal dari tempat yang dilarang, akan dikenakan denda tidak jurang dari RM10,000 dan tidak lebih daripada RM100,000 atau hukuman penjara tidak lebih dari enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

sumber: New Straits Times (14/02/2008)