Bahasa Malaysia | English  

Mengapa tidak gunakan sahaja keuntungan Petronas untuk mengurangkan harga petrol, diesel dan gas?

Banyak usaha telahpun diambil bagi mengekalkan harga rendah

Kenaikan harga minyak sedunia telah menjana lebih keuntungan bagi Petronas. Tapi hakikatnya, sebahagian besar daripada keuntungan ini sedang digunakan untuk mengekalkan harga produk petrol pada tahap rendah.

Disebabkan kenaikan mendadak harga minyak sedunia, harga produk petrol tidak akan dapat dikekalkan pada tahap semasa tanpa peningkatan keuntungan Petronas. Dalam tahun 2006, subsidi terus kerajaan telah menampung 31% kos sebenar setiap liter petrol yang dijual. Namun pada hari ini, subsidi terus kerajaan menampung 37% kos sebenar setiap liter petrol.

Keuntungan Petronas menyumbang lebih satu pertiga daripada pendapatan kerajaan persekutuan. Jumlah ini bukan sahaja digunakan bagi menampung subsidi yang makin meningkat, ia juga membolehkan penyediaan serta penaiktarafan pelbagai perkhidmatan asas seperti pendidikan dan kesihatan.

Mengurangkan lagi harga produk petrol akan menyebabkan perkhidmatan ini berkurangan. Ia juga membawa kepada pergantungan yang merbahaya ke atas keuntungan Petronas memandangkan potensi kehausan rizab minyak dan gas negara.