Bahasa Malaysia | English  

Saluran Sehenti Atas Talian Mudahkan Permohonan Lesen Perniagaan

KUALA LUMPUR, 3 Okt (Bernama) -- Pasukan Petugas Khas Untuk Memudahkan Perniagaan (Pemudah) sedang menubuhkan Perkhidmatan Sokongan Elektronik Perlesenan Perniagaan (Bless), yang beroperasi sebagai satu saluran sehenti atas talian untuk memperkemas dan mempercepat proses permohonan lesen perniagaan.

Pemudah ialah satu pasukan petugas khas yang ditubuhkan lapan bulan lalu bagi mempermudah aktiviti perniagaan dan memperbaiki sistem penyampaian awam.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pemudah berkata selain meringkaskan proses permohonan, inisiatif Bless juga menyasarkan untuk mengurangkan masa yang diambil bagi pengeluaran lesen dan bilangan lesen diperlukan.

Bless, katanya, akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

"Inisiatif ini pertamanya akan memberi perhatian kepada apa yang diperlukan sektor pembuatan dan industri hotel sebelum beralih kepada sektor-sektor lain," katanya.

Pemudah menjangka inisiatif itu akan memperbaiki dengan ketara sistem penyampaian bagi syarikat menjalankan perniagaan di Malaysia.

"Paling penting ia menyediakan satu medium yang mempercepatkan lagi permohonan lesen, sesuatu yang mengambil masa agak lama dahulu," katanya.

Pemudah berkata ia akan terus menjadi penggerak ke arah penambahbaikan yang ketara sistem penyampaian awam di mana ia mesti melangkaui bidang perniagaan dan mesti dirasai oleh orang awam.

BERNAMA