Bahasa Malaysia | English  

PBT diminta pertingkat sistem penyampaian

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa tempatan (PBT) diminta mempertingkatkan prestasi sistem penyampaian masing-masing bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat, kata Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Beliau berkata, saranan itu dibuat berikutan usaha kerajaan melaksanakan pelbagai program penambahbaikan sejak tahun lalu bagi memperbaiki sistem penyampaian perkhidmatan awam.

“Pelbagai langkah sewajarnya sudah diambil bagi meningkatkan mutu sistem penyampaian sektor awam, antaranya memperkenalkan tatacara baru untuk mempercepatkan urusan dengan PBT seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

“Malah, kerajaan turut menggantikan Sijil Layak Menduduki (CF) dengan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) yang memberi kuasa kepada PBT untuk meluluskan pelan bangunan sebelum CCC dikeluarkan arkitek atau jurutera profesional selepas bangunan siap dan selamat didiami.

“Langkah ini dijangka dapat mengurangkan aduan mengenai ketidakcekapan perkhidmatan PBT,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT Negeri Sembilan, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur serta Labuan, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ahmad Fuad Ismail.

Sehubungan itu, Mohd Sidek berharap PBT mampu untuk menunjukkan perubahan prestasi khususnya dengan terlaksananya sistem penarafan bintang, mulai bulan depan.

“Kita mahu menerusi sistem bintang PBT akan mendapat penarafan lima bintang bukan saja di atas kertas, tetapi juga perkhidmatan yang diberikan,” katanya.

Berita Harian