KUALA LUMPUR 21 Feb. - Barisan Nasional (BN) akan menjadikan Selangor sebuah negeri yang aman, selamat dan makmur.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, perkara ini akan dilakukan dengan menyediakan pemasangan lebih 400 kamera litar tertutup yang akan dipasang di kawasan-kawasan yang berisiko tinggi.
``Polis juga akan membuka lebih banyak balai polis di kawasan-kawasan ramai penduduk terutama di Petaling Jaya, Shah Alam dan Klang untuk memberi perlindungan kepada orang ramai,’’ katanya.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika berucap merasmikan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang juga Presiden MCA, Datuk Seri Ong Ka Ting.
Mohd. Khir memberitahu, untuk meneruskan pembangunan di negeri ini kerajaan BN akan terus menarik pelaburan asing di negeri yang mampu mewujudkan lebih 35,000 pekerjaan pada tahun ini.
``Pada tahun lepas sahaja kita berjaya menarik lebih RM11.2 bilion pelaburan asing, melebihi peringkat kebangsaan dan tahun ini kita berharap akan dapat angka yang lebih besar,’’ katanya.
Ujarnya, ini bersesuaian dengan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Selangor sebuah negeri yang aman, selamat dan makmur.
Tambahnya, bagi membantu rakyat untuk berhadapan dengan kenaikan harga barang disebabkan oleh kenaikan harga minyak di peringkat global, kerajaan negeri akan terus melaksanakan rancangan untuk membuka lebih banyak pasar-pasar harga patut.
Tegas Mohd. Khir, orang ramai boleh memilih untuk membeli barang-barang di banyak pasar raya besar yang menawarkan harga lebih rendah.
``Orang ramai boleh memilih untuk membeli sama ada di Tesco, Carefour, Giant, pasar tani, pasar pagi dan pasar malam yang banyak di negeri ini untuk mendapatkan harga barang yang lebih rendah.
``Kerajaan negeri membenarkan pasar raya besar ini membuka cawangan-cawangan masing-masing di kebanyakan tempat negeri ini bagi membolehkan berlaku perang harga yang akhirnya akan menguntungkan orang ramai dimana harga barang adalah lebih rendah,’’ katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai terus memberi kepercayaan kepada BN untuk memerintah negeri ini untuk tempoh lima tahun akan datang.
Utusan |