Bahasa Malaysia | English  

Bantu ‘bersih’ jenayah


Bakri Mohd. Zinin.

MUKADIMAH
MENURUNKAN kadar jenayah yang berlaku di seluruh negara adalah antara sasaran yang mahu dicapai oleh Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tahun ini.

Namun, penekanan harus juga diberikan kepada kes-kes jenayah khususnya kes pembunuhan yang berjaya diselesaikan tetapi tetap gagal dibawa ke mahkamah atas sebab bukti forensik yang lemah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baru, Datuk Bakri Mohd. Zinin menjelaskan, disebabkan oleh kekurangan bukti forensik, 20 peratus kes pembunuhan ‘dibuang’ begitu sahaja.

Dalam kesempatan menemu bual Pengarah JSJ yang baru, wartawan Utusan Malaysia, HASNURUL MOHAMED, AZMAN IBRAHIM dan AU YEONG HOW membangkitkan beberapa soalan, mengapakah perkara seperti itu boleh berlaku?

Secara tidak langsung, dalam memberikan jawapannya, Bakri meluahkan wawasan dan misinya untuk menyambung tradisi kecemerlangan sebagai Pengarah JSJ Bukit Aman.

UTUSAN: Apakah perkara pertama yang Datuk lakukan sejurus menjawat jawatan sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman yang baru?

BAKRI: Seperti tahun-tahun yang lalu, kita mempunyai wawasan dan sasaran secara umum tentang keseluruhan kes-kes jenayah di Malaysia.

Kita lihat sekarang penjenayah di Malaysia semakin canggih. Maksudnya canggih dari cara mereka melakukan jenayah.

Selalunya mereka (penjenayah) ini membuat penilaian dari sudut perundangan dan semua aspek. Bahkan, mereka lebih mengetahui tindakan yang akan mereka hadapi sekiranya dikesan dan ditangkap polis.

Mereka menggunakan pelbagai cara untuk mengaburi pihak polis supaya kita tidak dapat bukti-bukti yang kukuh untuk mendakwa mereka di mahkamah.

Jika begitu, apakah langkah-langkah yang boleh diambil oleh pihak polis supaya penjenayah ini dapat didakwa di mahkamah?

Dalam mahkamah selalunya mereka (mahkamah) berpandukan kepada bukti-bukti forensik berserta dengan pengumpulan data-data ataupun exhibit.

Polis pula tidak lagi menggunakan peruntukan Seksyen 113 untuk mendapatkan pengakuan daripada suspek yang kita tahan. Sebaliknya pihak polis menjuruskan penyiasatan kepada kaedah saintifik yang mana hasilnya adalah lebih jitu dan ini sepatutnya dapat mengukuhkan pendakwaan di mahkamah.

Namun begitu, perlu diingati bahawa dalam satu-satu penyiasatan pihak polis, kita mengumpulkan semua maklumat, membuat analisis, susun atur penemuan bukti-bukti dan seterusnya membawa kes tersebut kepada pendakwaan.

Jadi, apakah setiap penyiasatan dapat dilengkapkan dalam waktu yang singkat?

Oh tidak... Ia memakan masa yang lama. Kerja-kerja penyiasatan sebenarnya memerlukan penelitian, mengambil masa yang panjang dan memerlukan kerjasama saksi-saksi kejadian.

Kalau mereka tidak memberikan kerjasama kepada polis, macam mana kita mahu menyelesaikan siasatan ke atas satu-satu kes?

Kita memerlukan saksi di tempat kejadian kerana perlu diingatkan, polis tidak berada di tempat kejadian ketika kejadian itu berlaku. Kerana itulah, kita meminta bantuan orang awam yang berada di tempat kejadian untuk tampil membantu siasatan.

Sekiranya kita tidak mendapat kerjasama, tidak mungkin kita boleh membawa suspek atau penjenayah itu ke muka pengadilan.

Apakah polis dapat menyelesaikan siasatan dengan segera dan sekali gus, mendakwa mereka di mahkamah?

Sebagai Pengarah JSJ, saya akui terdapat kelemahan dalam penyiasatan. Kita memerlukan pegawai-pegawai penyiasat berpengalaman tetapi jika pegawai penyiasat yang ada baru sahaja selesai menjalani latihan selama enam bulan maka mereka memerlukan lebih masa untuk menimba pengalaman.

Maka itulah, saya katakan di sini, 20 peratus kes yang berjaya disiasat oleh pihak polis, gagal dibawa ke mahkamah kerana kekurangan bukti forensik.

Jumlah ini jugalah yang diunjurkan untuk kes-kes pembunuhan kerana kekurangan bukti forensik yang boleh mensabitkan seseorang suspek itu dengan sesuatu kes pembunuhan.

Bolehkah Datuk jelaskan apakah yang dimaksudkan sebagai bukti forensik?

Sebagai contoh, untuk memastikan senjata itu berlesen, kita lihat pada pelurunya kerana karakteristik peluru akan menentukan jenis senjata.

Selain pengesahan senjata api, kita juga menggunakan bukti forensik berdasarkan analisis tulisan kerana cara penulisan menggambarkan sifat seseorang.

Kita juga mendapat bantuan kepakaran daripada polis luar negara seperti Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat (FBI) apabila dijalankan pengumpulan bukti forensik untuk sesuatu kes.

Pegawai penyiasat kita juga mendapat latihan daripada FBI supaya kita lebih bersedia dalam menghadapi kes-kes berprofil tinggi.

Apakah Datuk berpuas hati dengan peratus kes-kes yang berjaya diselesaikan oleh polis setakat ini atau peratusan itu perlu dipertingkatkan lagi?

Untuk mengatakan saya berpuas hati terhadap kes-kes yang berjaya diselesaikan oleh pihak polis, sebenarnya kita telah melebihi daripada penanda aras yang ditentukan oleh Interpol (Polis Antarabangsa).

Jika mengikuti kelayakan yang ditentukan oleh Interpol, kita hanya perlu 20 peratus penyelesaian kes tetapi apa yang kita telah capai melebihi daripada 55 peratus.

Bagaimanapun, kita perlu terus mempertingkatkan keupayaan Unit Risikan supaya segala maklumat yang terkumpul, adalah relevan dengan kepelbagaian jenayah yang berlaku sekarang.

Mungkin Datuk ada saranan untuk mempertingkatkan lagi keupayaan Unit Risikan sedia ada?

Kita lihat dari dua sudut iaitu undang-undang pencegahan dan pendakwaan di mahkamah.

Kedua-dua sudut ini kita perkemaskan lagi supaya kes-kes yang tidak boleh didakwa tetapi melibatkan sindiket gengster, kita akan mengguna pakai undang-undang pencegahan.

Dalam erti kata lain, apa cara sekalipun, kita akan mengambil tindakan perundangan terhadap penjenayah. Mereka tidak akan terlepas begitu sahaja. Kita juga akan menggunakan Akta Darurat, jika perlu.

Pada hemat Datuk, mampukah ‘dibersihkan’ sindiket jenayah di Malaysia?

Untuk ‘membersihkannya’ - itu adalah satu perkataan yang cukup tinggi. Memanglah itu (bersih) yang kita mahukan tetapi apa yang saya kehendaki ialah toleransi sifar dari segi mengambil tindakan daripada pegawai-pegawai saya.

Jenayah berlaku di mana-mana dan semuanya diadukan kepada polis. Polis bertindak sebagai pembela kepada mangsa tetapi dalam masa yang sama, kita juga perlukan kerjasama daripada pengadu.

Jangan sekadar membuat laporan, apabila polis mengambil tindakan, kita tidak mendapat kerjasama daripada pengadu.

Apa yang penting ialah kerjasama semua pihak dalam membantu polis menangani jenayah.

Utusan