Bahasa Malaysia | English  

PM Mahu Kakitangan Awam Terus Tingkatkan Momentum Kecekapan

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Bernama) -- Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini menggesa kakitangan awam di negara ini merancakkan lagi momentum untuk meningkatkan kecekapan mereka bagi membolehkan sektor itu muncul sebagai antara yang terbaik di dunia.

Perdana Menteri berkata perkara itu bukan suatu yang mustahil kerana berdasar kepada 'cakap-cakap' di kalangan rakyat, prestasi perkhidmatan awam negara sudah semakin baik membuktikan usaha yang dilakukan sektor itu untuk meningkatkan kecekapan mereka sejak kebelakangan ini sudah mencapai suatu tahap kejayaan.

"Ia sudah pada tahap momentum jadi biasanya jika sudah ada momentum maka kita perlu teruskan dengan usaha kita itu agar momentum itu akan terus meningkat maka ia mula bergerak dengan cepat sebab kita nak jadikan ia satu kebiasaan," katanya berucap merasmikan Konvensyen Tritahunan Kongres Kesatuan Pekerja-Perkerja Perkhidmatan Awam Cuepacs), di sini.

Abdullah berkata beliau yakin dengan kesungguhan yang ditunjukkan kakitangan awam sekarang, prestasi sistem penyampaian sektor itu akan diakui sebagai antara yang terbaik dalam masa yang terdekat.

Ini kerana kata beliau, berdasar kepada maklum balas yang diterimanya, rungutan berkenaan sistem penyampaian sektor awam sudah semakin kurang kedengaran.

"Dulu bila bercakap pasal sistem penyampaian perkhidmatan awam ia adalah satu hentaman terhadap perkhidmatan awam. Selalu kena...kena saja. Bukan sikit. Saya yang jadi Perdana Menteri pun rasa sakit juga, sama-sama kita rasa sakit. Paha kiri dicubit, paha kanan rasa sakit, paha kanan dicubit paha kiri rasa sakit, (sebab) kita sama-sama dalam hal ini," katanya.

Beliau berkata untuk mengubah keadaan itu, kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah yang kini terbukti berkesan dan bagi terus mencapai kemajuan, kakitangan awam mesti menanam sikap sentiasa menambah nilai dalam langkah-langkah yang telah diambil agar sesuatu hasil yang baik akan menjadi lebih baik.

"Tambah nilai kepada diri, tambah nilai kepada kerja, tambah nilai kepada hasil kerja, tambah mutu dan sebagainya.

Dengan cara itulah kita dapat meningkatkan kedudukan kita, meningkatkan kedudukan negara," katanya.

Abdullah berkata beliau juga percaya kekuatan yang ada pada sektor awam akan menjadi pemangkin ke arah kemajuan sektor swasta sekaligus memakmurkan lagi negara ini.

"Dengan kemajuan yang ada pada kita, pelabur tidak akan teragak-agak untuk datang melabur, peniaga dan pengusaha takkan ragu-ragu untuk berniaga kerana di negara ini sudah ada kemudahan-kemudahan untuk mereka menjalankan aktiviti mereka," katanya.

Mengenai empat permohonan Cuepacs yang disuarakan oleh Presidennya Omar Osman dalam ucapan aluannya sebelum itu, Abdullah berkata kerajaan sentiasa berlaku adil terhadap kakitangan awam dan berusaha memenuhi permintaan mereka jika dirasakan munasabah dan wajar.

"Kerajaan tetap prihatin terhadap masalah dan kedudukan angota perkhidmatan awam. Dari semasa ke semasa, dari dulu sampai sekarang, apabila keadaan memerlukan, apabila melihat kewajaran yang wujud, maka akan adalah nanti apa yang dipanggil sebagai pemberian-pemberian sama ada yang berkaitan elaun ke, kenaikan gaji ke, ataupun insentif ke, bonus ke, tambah gaji ke, lanjutkan umur pencen ke, semua ini bukan tak pernah berlaku.

"Semua ini dah berlaku...Saya fikir kita berlaku adil kepada kakitangan awam. Dan kita akan terus berlaku adil kepada anda," katanya disambut tepukan gemuruh oleh lebih 500 perwakilan yang menyertai konvensyen tiga hari bermula hari ini itu.

Abdullah seterusnya secara terbuka meminta supaya Omar dan Cuepacs membincangkan permohonan kakitangan awam itu secara langsung dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Antara lain, Omar dalam ucapannya memohon agar kerajaan mempertimbangkan pemberian honorarium RM2,000 untuk semua kakitangan awam tanpa mengira kumpulan kerja, mengkaji semula sistem Pencapaian Tahap Kecekapan (PTK) dan melanjutkan umur pesaraan.

Omar berkata pemberian honorarium itu perlu dipertimbangkan sebagai penghargaan terhadap kakitangan awam sempena 50 tahun kemerdekaan negara.

Perdana Menteri dalam ucapannya turut mengucapkan terima kasih di atas sumbangan dan jasa kakitangan awam sepanjang 50 tahun lalu kerana telah bersama-sama kerajaan membangunkan negara ini sehingga mencapai kejayaan yang dikecapi sekarang.

"Sejak kita merayakan ulang tahun 50 tahun kemerdekaan negara, saya belum lagi berjumpa dengan Cuepacs...dan antara sebab saya datang hari ini adalah untuk bersemuka dengan pemimpin Cuepacs dan mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kerajaan atas jasa dan pengorbanan Cuepacs sepanjang 50 tahun, melaksanakan peranan untuk terus menggerakkan sektor awam bagi menjayakan usaha-usaha pembangunan dari setahun ke setahun sampailah ke hari ini," katanya.

Dalam pada itu, Abdullah juga mahu Cuepacs meneruskan kerjasama eratnya dengan kerajaan agar persefahaman yang wujud antara kedua pihak berkekalan dan segala permasalahan dapat dibincang secara musyawarah.

BERNAMA