JOHOR BAHRU 1 Jan – Projek Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dijangka bertambah rancak pada tahun ini dengan kebanyakan projek di bawah rancangan pembangunan di wilayah itu dimulakan pada suku pertama tahun 2008.
Menteri Besar Johor, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, hampir semua urusan berkaitan peraturan dalam WPI telah diselesaikan pada tahun lalu, sebelum beberapa siri perkembangan projek berkenaan diumumkan sedikit masa lagi.
“Kerajaan kini berada pada status ‘bersedia untuk melaksanakannya’. Banyak perkara menarik akan berlaku pada 2008 dan Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan negeri amat komited bagi memastikan projek rancangan WPI berjalan seperti yang dirancangkan,” katanya kepada pemberita, di sini.
Abdul Ghani yang juga Pengerusi bersama Pihak Berkuasa Lembaga Pembangunan Iskandar berkata, satu pelan komunikasi baru akan diwujudkan bagi memastikan orang awam sentiasa mendapat maklumat terkini mengenai WPI dan beberapa pengumuman baru, termasuk tentang pelaburan baru, pemberian kontrak dan pelancaran projek infrastruktur yang besar.
Beliau juga berkata, pelabur dari Asia Barat yang membawa masuk pelaburan berjumlah AS$1.2 bilion (RM4.2 bilion) akan memulakan projek mereka pada suku pertama tahun ini di Node 1 dengan Aldar Properties di bawah perjanjian Mubadala Development Company, yang melabur sejumlah AS$520 juta, akan mula membangunkan zon santai termasuk projek perumahan, taman hiburan, padang golf dan pusat perubatan.
Katanya, Al-Nibras Ltd. anak syarikat Kuwait Finance House yang akan melabur AS$330 juta, pula akan memulakan pembangunan kluster budaya yang meliputi taman kreatif dan perkampungan warisan, manakala Abu Dhabi’s Millenium Development Company yang akan melabur sebanyak AS$325 juta mula membangunkan zon kewangan antarabangsa.
Menurut Abdul Ghani, semua pembangunan infrastruktur dalam WPI juga akan bermula pada suku pertama tahun ini, termasuk pembinaan Lebuh Raya Pesisir Pantai, sepanjang 15 kilometer yang menghubungkan bandar raya Johor Bahru dengan Nusajaya bernilai RM1 bilion.
“Syarikat Permodalan Johor Selatan (SJIC) iaitu sebuah syarikat yang berkaitan WPI juga akan memulakan pembinaan sembilan susur keluar dan enam jambatan bagi Lebuh Raya Pesisir Pantai, manakala pembinaan Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) yang menghubungkan Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK) dengan Lebuhraya Utara Selatan di Pandan akan dimulakan pada Mac ini,” katanya.
Beliau berkata, projek pemulihan sungai-sungai di sekitar WPI juga akan bermula tahun ini, melibatkan peruntukan sebanyak RM900 juta bagi membersihkan Sungai Skudai, Segget dan Tebrau yang kini pencemarannya berada pada tahap kritikal, manakala projek MSC Cyber City bernilai RM500 juta juga akan dibangunkan di Kulai, pada tahun ini.
Pusat Pentadbiran Baru Kerajaan Johor, yang bernilai RM1.2 juta juga akan beroperasi pada Mac ini dan beberapa kemudahan keselamatan di WPI melibatkan kos bernilai RM330 juta juga akan dibangunkan pada tahun ini, katanya.
“Antara projek yang telah dilaksanakan sepanjang 2007 pula ialah pelancaran Puteri Harbour bernilai RM1.5 bilion dan janakuasa Tanjung Bin bernilai RM7.8 bilion,” katanya.
WPI yang meliputi beberapa daerah di Johor merupakan koridor pembangunan kawasan selatan yang bakal menyaksikan kawasan Johor Selatan bertukar menjadi bandar raya metropolis antarabangsa seperti Hong Kong dan Shenzhen, China. - BERNAMA
Utusan |