KUALA LUMPUR 13 Jan. – Ringgit mungkin terus meningkat mencecah paras RM3.00 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku keempat tahun ini berikutan jangkaan belian kukuh aset tempatan oleh pelabur asing yang yakin dengan prestasi ekonomi Malaysia.
Ketua Perbendaharaan Al-Rajhi Bank Malaysia, Zaimah Zakaria berkata, ketika kebimbangan terhadap subprima kembali semula dan ekonomi AS masih berada dalam keadaan yang tidak menentu, pasaran tempatan dijangka dapat menarik masuk aliran modal asing kukuh yang berterusan.
“Mengecilkan perbezaan kadar faedah antara AS dan Malaysia akan membawa aliran masuk modal ke negara ini,” katanya, di sini hari ini.
Ringgit hari ini mencecah 3.2560, paras paling kukuhnya sejak November 1997, berikutan kelemahan dolar AS dan kenaikan di Bursa Malaysia.
Zaimah berkata, Malaysia dijangka menerima pelaburan langsung asing besar terutamanya dalam projek koridor pertumbuhan seperti Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Baru-bari ini, Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Ben Bernanke memberi gambaran bahawa kadar faedah mungkin diturunkan pada akhir bulan ini bagi menghalang negara itu daripada terjerumus ke dalam kemelesetan.
Rizab Persekutuan yang menurunkan kadar sebanyak satu peratus mata kumulatif pada September dan Disember, dijangka mengurangkan lagi kadar sebanyak 25 mata asas pada bulan ini.
Menjelas lebih lanjut, Zaimah berkata melihat kepada pergerakan semasa ringgit, tidak mustahil bagi mata wang tempatan itu untuk terus mengukuh kepada paras RM3.00 hingga RM3.10 berbanding dolar AS menjelang suku keempat tahun ini.
Secara umumnya, ringgit dijangka mengukuh berbanding dolar AS terutamanya ke arah suku terakhir disebabkan kelemahan berterusan dolar AS berbanding mata wang Asia terutamanya pada separuh kedua tahun ini.
“Bagi suku pertama, unit tempatan mungkin mengukuh kepada 3.23 berikutan perkembangan beberapa berita positif terutamanya peningkatan pasaran saham sebelum pilihan raya umum.
“Pada suku kedua, kita mungkin menyaksikan ringgit mengukuh sedikit kepada RM3.20 (berbanding dolar AS) sebelum menjalani beberapa pembetulan. Maksimum yang ia boleh berpatah balik ialah kepada RM3.37,” kata Zaimah.
Bagaimanapun, beliau berkata, pada awal suku ketiga, ringgit mungkin turun kepada paras 3.38 sebelum meningkat semula, sambil menambah paras tertinggi yang ia boleh meningkat ialah pada RM3.15 berbanding dolar AS.
Zaimah berkata, kenaikan yuan China dan dolar Singapura juga membolehkan Bank Negara Malaysia (BNM) membiarkan mata wang tempatan mengukuh tanpa kehilangan ketara daya saing eksport.
BNM bersedia untuk membenarkan ringgit yang kukuh bagi mengekang inflasi import, katanya. - BERNAMA
Utusan |