BACHOK 22 Feb. - Langkah Pas membiarkan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di kerusi Parlimen Machang pada Pilihan Raya Umum Ke-12 membuktikan parti itu tidak lagi yakin dapat memenangi kerusi berkenaan.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kawasan berkenaan, Datuk Sazmi Miah berkata, Pas yang mungkin menjangka kemerosotan sokongan pengundi terhadap parti itu, menawarkan kawasan yang tidak selamat termasuk beberapa kawasan lain kepada PKR.
"Kerana ketiadaan calon sesuai, Pas menyerahkan kepada PKR yang akan mengambil calon dari luar Kelantan," katanya kepada para pemberita di sini hari ini.
Pengarah Strategik PKR, Saifuddin Nasution yang kini berkhidmat dengan institusi kerajaan negeri dijangka menentang Sazmi.
Sazmi yang akan mempertahankan kerusi itu buat penggal kedua berharap Saifuddin dapat memberi penjelasan kepada rakyat Machang berhubung agendanya sebagai calon PKR jika memenangi kawasan itu.
''Apakah yang boleh dilakukannya bagi membela nasib rakyat melainkan mengadakan siri ceramah.
"Sebagai anak jati Machang dan seperti pengundi lain pastinya calon dari luar Kelantan tidak dapat kami terima. Apa lagi tokoh berkenaan bukan mewakili parti yang selama ini banyak berjasa kepada rakyat," katanya.
Sazmi yang juga Setiausaha Parlimen, Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar berkata, kehadiran Saifuddin di kawasan itu telah mengelirukan ramai penyokong Pas sendiri.
source: Utusan |