SHAH ALAM 6 Mac – “Apa yang
telah saya perolehi hari ini bukan hanya kerja keras tetapi juga
bantuan daripada kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN),”
kata Mat Roslan Abdullah, 38.
Beliau yang merupakan salah seorang daripada tiga pemenang Anugerah
Pekebun Kecil Cemerlang berkata demikian sebagai menghargai jasa
BN yang telah banyak membantunya meninggikan taraf hidup.
Beliau yang berasal dari Pahang berkata, kehidupannya tidaklah begitu
senang sebelum ini kerana bukan berasal daripada keluarga berada.
“Saya bukan orang senang, selepas tamat sekolah saya cuba
mengusahakan kawasan tanaman kelapa sawit melalui skim pekebun kecil.
“Alhamdulillah, dengan bantuan kerajaan seperti pemberian
benih, baja dan khidmat nasihat, saya mampu memperoleh pendapatan
di antara RM10,000 hingga RM15,000 sebulan.
“Jika nak buat sendiri, sudah pasti saya tidak mampu dan apa
yang saya ada pada hari ini adalah komitmen serta usaha kerajaan
melalui dasar-dasar untuk meningkatkan pendapatan rakyat,”
katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kejayaannya
memenangi anugerah itu yang disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak pada majlis Timbalan Perdana Menteri
Bersama Pekebun Kecil dan Pekerja Ladang Sawit di Stadium Melawati,
di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir
Toyo dan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Peter
Chin Fah Kui.
Beliau membawa pulang sijil penghargaan serta trofi.
Seorang lagi pemenang, Abdul Kadir Imran, 35, dari Kalabakan, Sabah
memberitahu, apa yang telah dibuat oleh kerajaan dalam memajukan
para pekebun kecil merupakan peluang yang perlu dimanfaatkan oleh
rakyat.
“Kerajaan telah menyediakan semuanya untuk rakyat, tetapi
terpulang kepada rakyat untuk menerima atau tidak,” katanya
yang memperoleh pendapatan sebanyak RM9,000 sebulan dengan mengusahakan
ladang kelapa sawit seluas 11.3 hektar.
Sementara itu, Bong Aman Saleh, 34, berkata, beliau amat bersyukur
dengan apa yang telah dilaksanakan oleh kerajaan di bawah pimpinan
BN dan rakyat tidak sepatutnya mempertikai atau menyalahkan kerajaan
jika berdepan masalah-masalah tertentu.
Ini kerana, jelasnya, sesuatu yang dibuat oleh kerajaan mungkin
mengambil tempoh yang lama untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik
untuk rakyat.
“Seperti kita tanam kelapa sawit hari ini, kita tidak boleh
harapkan esok kita boleh tuai hasil.
“Tetapi kita perlu bersabar dan percaya bahawa kerajaan yang
ada ketika ini (BN) tidak pernah tidak menunaikan janjinya untuk
kepentingan dan kemakmuran rakyat,” ujarnya.
sumber: Utusan |