KOTA
BHARU 6 Mac – Rakyat Kelantan bakal mendapat durian runtuh
apabila Barisan Nasional (BN) akan melupuskan cukai dan bil tertunggak
berjumlah RM76 juta, seandainya mendapat mandat memerintah negeri
ini.
Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin berkata, cukai dan bil tertunggak itu ialah sebanyak RM26 juta bagi cukai tanah, RM34 juta pula bagi cukai-cukai di majlis daerah dan bil air pula sebanyak RM16 juta.
Menurut beliau, jumlah itu tidak termasuk cukai kepala bakul kepada peniaga kecil yang akan turut dihapuskan dan kajian semula terhadap cukai-cukai lain yang tidak munasabah tetapi telah dikuatkuasakan oleh kerajaan Pas.
“Ini janji saya jika BN mendapat mandat dan ia akan ditunaikan, bukannya hanya janji ‘gula-gula’ pilihan raya. Jika menang Sabtu ini, esoknya kita akan umum pelupusan dan penghapusan cukai itu.
“Kalau ada orang Pas tak setuju, jangan takut kita akan buka juga kaunter berasingan untuk mereka membayar cukai yang kita lupus dan ia terpulang kepada mereka untuk membayarnya,” katanya sambil berseloroh.
Awang yang juga calon BN bagi kerusi Parlimen Bachok itu berkata demikian dalam ucapan sempena majlis pelancaran manifesto BN Kelantan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Demit di sini hari ini.
Awang berkata, sokongan rakyat kepada BN semakin meningkat dengan beberapa kubu Pas yang sebelum ini, dikategorikan sebagai hitam kini semakin cerah dan semakin membiru.
Dalam pada itu, Awang berkata, Pas yang kini amat terdesak kerana sokongan rakyat semakin berkurangan telah menyuarakan protes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung pemasangan poster beliau di seluruh negeri.
“Mereka memberi alasan mengapa poster itu digantung sedangkan saya hanya bertanding di kawasan Parlimen Bachok dan DUN Perupok, ada daripada mereka yang buat sabotaj dengan menurunkan poster saya.
“Saya nak tanya balik kenapa gambar Datuk Seri Anwar Ibrahim (bekas Timbalan Perdana Menteri) turut digantung, bukan sahaja di Kelantan tetapi seluruh negara, sedangkan beliau langsung tidak bertanding,” katanya.
sumber: Utusan |