TAIPING
6 Mac – Lebih 55,000 penduduk di Parlimen Bukit Gantang di
sini bakal mendapat manfaat besar dalam aktiviti sosioekonomi dengan
pelancaran Lembaga Pembangunan Bukit Gantang (LPBG) esok.
Calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Abdul Azim Mohd. Zabidi berkata, lembaga tersebut akan memainkan peranan untuk memajukan tiga sektor utama di Bukit Gantang iaitu pertanian, pelancongan dan menjaga kebajikan penduduk setempat.
Beliau berkata, penubuhan lembaga itu adalah yang pertama dilaksanakan melalui suntikan modal daripada beberapa syarikat korporat terkemuka negara.
‘‘Ketika berkunjung ke rumah-rumah pengundi, banyak masalah diutarakan mereka dan kebanyakannya adalah perkara kecil. Namun disebabkan ia mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan, saya mengambil inisiatif sendiri untuk menubuhkan lembaga ini.
‘‘Bagaimanapun, penubuhan lembaga ini bukan bertujuan menafikan peranan yang dimainkan pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) tetapi bagi mempercepatkan proses pembangunan dan penyaluran segera bantuan yang diperlukan penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan kunjungan rumah ke rumah di Kampung Larut Tin di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Abdul Azim yang juga Bendahari Agung UMNO berkata, dana LPBG akan disalurkan melalui peruntukan tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat-syarikat.
Katanya, setiap syarikat korporat yang terlibat dicadangkan mengambil beberapa buah kampung sebagai kampung angkat mereka.
‘‘Sebagai contoh, ada masjid memerlukan peruntukan untuk membaik pulih bumbung. Hendak mohon bantuan kerajaan mungkin ambil masa tetapi melalui pelaksanaan lembaga ini, syarikat terbabit akan menyalurkan bantuan dengan segera menerusi peruntukan CSR berkenaan,” katanya.
Sehubungan itu, kata Abdul Azim, LPBG yang matlamat asalnya adalah untuk menjaga kebajikan masyarakat Parlimen Bukit Gantang diharap mampu direalisasikan dalam masa terdekat.
‘‘Kewujudan LPBG bukan retorik politik. Pelancaran rasminya akan dilakukan esok dan saya secara peribadi berharap ia akan membantu memberikan impak ekonomi kepada kawasan Parlimen ini,” katanya.
Selain itu, Abdul Azim berkata, LPBG juga akan memberi tumpuan bagi mempopularkan destinasi pelancongan di Bukit Gantang yang selama ini ‘tenggelam’ supaya penduduk boleh memanfaatkan peluang perniagaan yang bakal wujud daripada industri pelancongan.
‘‘Malah melalui pelaksanaan lembaga ini, pelbagai sumber asli yang terdapat di sini akan diketengahkan,’’ katanya.
Ditanya tentang kempen hari-hari terakhir sebelum pengundian Sabtu ini, beliau berkata, sambutan yang diberikan oleh pengundi di sini amat baik.
‘‘Saya diterima di sini dan kebolehan saya bercakap sedikit dalam bahasa Mandarin membantu mengeratkan hubungan dengan pengundi Cina di sini,” ujarnya.
sumber: Utusan |