Bahasa Malaysia | English  
Dungun bakal miliki industri petrokimia

DUNGUN 6 Mac - Daerah Dungun akan mengalami pembangunan lebih pesat apabila kawasan seluas 400 hektar di Kawasan Industri Tok Harun, Paka di sini, akan dimajukan dengan projek petrokimia dengan pelaburan berbilion ringgit.

Ketua UMNO Bahagian Dungun, Datuk Rosli Mat Hassan berkata, projek itu jika menjadi kenyataan bukan sahaja mampu mengubah wajah Dungun malah bakal menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

"Projek ini akan dibangunkan oleh Petronas dalam tempoh beberapa tahun akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan kempen membantu calon-calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Dungun di sini malam tadi.

Hadir sama calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, Rosli Harun, bekas anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Abdul Aziz Awang dan Setiausaha Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak), Datuk Tok Teng Sai.

Mengulas lanjut katanya, dengan terlaksananya projek tersebut selain beberapa projek mega lain di daerah ini, Dungun akan menjadi daerah ketiga terbesar selain Kemaman dan Kuala Terengganu.

Katanya, berikutan perkembangan itu juga Majlis Daerah Dungun akan diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Dungun pada tahun ini.

Dalam pada itu, Rosli yang tidak mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Ke-12, melahirkan keyakinan BN akan memperolehi kemenangan besar sekaligus mendapat mandat memerintah negeri ini semula.

Katanya, keyakinan tersebut dibuat berdasarkan semua wakil rakyat yang digugurkan, telah kembali bersatu sambil melupakan segala perselisihan kecil yang berlaku.

"Memang kita akui selepas penamaan calon ada sedikit pergolakan tetapi akhirnya dapat ditenangkan. Ini perkara biasa dalam pilihan raya, saya yakin BN dapat mandat lebih besar kali ini," katanya.

Mengulas lanjut katanya, beliau yakin semua calon BN yang ditampilkan bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri dan Parlimen, bukan sahaja berkebolehan malah mampu menumbangkan Pas dengan memperolehi jumlah undi lebih besar.

"Sebagai contoh calon BN Parlimen Dungun, Matulidi Jusoh bukan sahaja berpelajaran dan berpengalaman tetapi dia juga sememangnya calon berkebolehan. Selaku ahli Parlimen penggal lalu, saya telah lama membimbingnya untuk menjadi ahli politik yang berjaya," katanya.

sumber: Utusan