Bahasa Malaysia | English  
Pembinaan pusat pengajian disambut baik

JOHOR BAHRU 6 Mac - Pembinaan kampus Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang dekat sini yang dijangka siap pada awal 2010, bakal melengkapkan kawasan tersebut sebagai pusat pendidikan.

Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar bandar raya ini mendapati, rata-rata warga Pasir Gudang yang ditemui turut menyatakan pembinaan kedua-duanya dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh industri di situ.

Seorang pelajar Kolej Komuniti Pasir Gudang, Mohd. Syafiq Basri, 17, berkata, pelajar-pelajar yang berjaya memasuki UniKL kelak dapat memanfaatkan kemudahan dan prasarana industri yang terdapat di situ.

"Berbanding penuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) lain, kebanyakannya lebih berasaskan teori, namun di UniKL yang terletak di kawasan perindustrian, pengalaman sebenar dapat dirasai melalui latihan industri di situ," katanya.

Katanya, pihak industri juga dapat memanfaatkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang dijalankan universiti berkenaan supaya syarikat mereka lebih maju dan berdaya saing.

Tambahnya, kewujudan MRSM pula melengkapkan pembangunan modal insan di peringkat sekolah dan berharap lebih ramai diberi peluang menjadi pelajar di situ.

Rakannya, A. Kogila, 20, pula berkata, dia amat tertarik untuk memasuki UniKL berdasarkan matlamat universiti itu untuk melahirkan usahawan dalam bidang teknologi.

"Kebanyakan universiti menawarkan kursus dalam bidang teknikal dan teknologi, tetapi kurang memberi penekanan terhadap aspek keusahawanan dalam bidang tersebut.

"Saya yakin ramai yang berminat dalam bidang keusahawanan dan tentunya bidang yang belum diterokai sepenuhnya itu mendatangkan hasil lumayan," katanya.

Pelajar Pusat Giat Mara, Santi Darmalis, 18, pula berkata, kewujudan UniKL membolehkan lebih ramai pelajar menyambung pengajian di peringkat ijazah.

"Di Pasir Gudang, terdapat beberapa institusi pendidikan seperti Kolej Komuniti, Pusat Giat Mara dan Institut Kemahiran Mara yang menawarkan pengajian hingga ke peringkat diploma.

"Dengan adanya UniKL, pelajar berpeluang menyambung pelajaran ke peringkat ijazah tanpa perlu ke tempat lain," katanya.

sumber: Utusan