JOHOR
BAHRU 6 Mac - Kerajaan memperuntukkan RM275 juta untuk membina kampus
Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM)
di tapak seluas 44 hektar di Bandar Seri Alam, Pasir Gudang dekat
sini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled
Nordin berkata, sebanyak RM195 juta diperuntukan untuk membina kampus
UniKL Pasir Gudang di tapak seluas 24 hektar, manakala RM80 juta
digunakan bagi pembinaan MRSM Johor Bahru yang luasnya 20 hektar.
Menurutnya, kedua-dua projek dijangka siap pada Februari 2010, namun
pengambilan pertama penuntut UniKL itu dilakukan pada Julai ini
dan mereka akan ditempatkan di kampus sementara di Masai.
"Buat permulaan UniKL mampu menyediakan tempat kepada 1,500
pelajar.
"MRSM pula boleh menampung 1,050 pelajar tingkatan satu hingga
lima dengan pengambilan pertama pada 2011," katanya kepada
pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Pembinaan UniKL
Pasir Gudang dan MRSM Johor Bahru dekat sini hari ini.
Turut hadir bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam; Ketua
Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Naim Marthinin dan Ketua
Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff.
Setakat ini, UniKL mempunyai lapan kampus dengan penuntut seramai
11,527 orang, manakala jumlah MRSM di seluruh negara adalah 41 buah
kesemuanya.
Mohamed Khaled berkata, apabila siap, UniKL akan menawarkan lima
kursus di peringkat diploma serta ijazah sarjana Muda dalam bidang
Kejuruteraan Kualiti, Logistik Industri, Industri Pemprosesan Peralatan
dan Kejuruteraan Kawalan, Industri Penyelenggaraan Kilang dan Kejuruteraan
Minyak dan Gas.
Katanya, selain mengeluarkan pekerja berkemahiran tinggi, matlamat
UniKL adalah melahirkan usahawan dalam bidang teknologi.
"Saya berasa bangga kerana pihak universiti berjaya menjalinkan
kerjasama dengan sebuah syarikat konsortium dari Belanda untuk tujuan
tersebut," jelasnya.
Beliau berkata, projek UniKL Pasir Gudang juga merupakan satu daripada
bukti Barisan Nasional (BN) dalam usaha menjana lebih dua juta peluang
pekerjaan dalam masa lima tahun akan datang menerusi pelaburan dalam
bidang sains dan teknologi, khususnya dalam penyelidikan dan pembangunan
(R&D).
Mohamed Khaled berharap kursus yang ditawarkan di universiti tersebut
akan diperluaskan kepada bidang-bidang yang diperlukan untuk Wilayah
Pembangunan Iskandar (WPI) seperti maritim, bioteknologi dan teknologi
maklumat.
"Dengan itu UniKL akan menjadi pusat ilmu yang utama untuk
membangunkan modal insan bagi memenuhi keperluan WPI.
"Pekerja berkemahiran tinggi amat penting di WPI yang dijangka
akan menjadi kawasan tumpuan pelaburan kedua terbesar selepas Lembah
Klang," katanya.
Sementara itu, lokasi UniKL di Pasir Gudang yang terletak di kawasan
perindustrian memberi kelebihan kepada para penuntut menimba pengalaman
sebenar bekerja menerusi latihan industri.
sumber: Utusan |