IPOH 6 Mac - Penduduk di sekitar Gopeng hingga ke bandar raya ini bakal menikmati limpahan pembangunan yang besar sebaik sahaja kampus Premier International University of Perak di Gua Tempurung beroperasi sepenuhnya pada tahun 2009.
Menteri Besar, Datuk Seri Mohd. Tajol Rosli Ghazali berkata, memandangkan universiti yang berteraskan bidang perubatan itu boleh menampung sehingga 8,000 pelajar maka penduduk juga bakal menikmati kesan ekonomi yang baik.
''Pusat pengajian tinggi yang kita bawa masuk dari India ini akan dibina di kawasan seluas 100 hektar bersebelahan Lebuh Raya Utara-Selatan dengan kos sebanyak RM450 juta.
''Jadi saya mahu kawasan sekitar kampus universiti di Gua Tempurung itu seperti Gopeng, Kepayang, Simpang Pulai dan Ipoh turut membangun manakala penduduknya dapat menikmati limpahan ekonomi," katanya.
Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penubuhan Premier International University of Perak dan penyerahan surat tawaran kelulusan tanah di sini semalam.
Kampus universiti berkenaan adalah milik Blair Education Services Sdn. Bhd. yang mempunyai lima buah gabungan universiti di Chennai, India.
Universiti tersebut bakal mempunyai lima buah fakulti iaitu perubatan, pergigian, farmasi, perniagaan dan pengurusan serta Sains dan Teknologi.
Tajol Rosli berkata, oleh kerana universiti itu tidak menyediakan tempat tinggal sepenuhnya buat pelajar maka sebahagian pelajarnya akan menyewa di luar kampus dan akan menguntungkan penduduk.
Beliau berkata, kehadiran universiti tersebut juga akan meringankan beban ibu bapa yang ingin menghantar anak-anak mereka ke luar negara semata-mata untuk mengikuti pengajian dalam bidang kedoktoran.
Katanya, kos yang ditawarkan bagi mengikuti bidang perubatan peringkat ijazah di universiti tersebut adalah jauh lebih murah iaitu sekitar RM210,000 berbanding kira-kira RM400,000 di luar negara.
''Apa yang menarik ialah pelajar tahun ketiga ijazah perubatan di sini akan dihantar ke India bagi tujuan pembelajaran yang lebih efektif dengan melakukan pembedahan ke atas mayat manusia yang sebenar.
''Jadi ia sudah tentu lebih berkesan dan bermakna bagi pelajar dalam bidang kedoktoran. Selain itu universiti ini juga turut menumpukan bidang lain yang tidak kurang pentingnya seperti kejuruteraan dan teknologi maklumat," jelasnya.
sumber: Utusan |