SUNGAI PETANI 6 Mac - Lebih 300,000 penduduk
Sungai Petani bakal menikmati kemudahan perkhidmatan kereta api
laju apabila projek landasan kereta api berkembar Ipoh-Padang Besar
sejauh 329 kilometer, siap dalam tempoh beberapa tahun lagi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, berdasarkan
perbincangan pihaknya dengan kontraktor utama projek itu, kerajaan
bersetuju membina sebuah stesen transit di Sungai Petani bagi memudahkan
penduduk menggunakan perkhidmatan kereta api laju kelak.
"Sungai Petani akan menjadi pusat pengangkutan termoden memandangkan
sebuah stesen kereta api yang menyokong projek landasan kereta api
berkembar akan dibina tidak lama lagi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis pecah tanah
kompleks stesen bas, teksi dan perniagaan baru di Jalan Petri di
sini semalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Penerangan yang juga
calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Petani, Datuk Seri Zainuddin
Maidin, calon BN Parlimen Merbok, Datuk Tajul Urus Md. Zain, Yang
Dipertua MPSPK, Adzmi Din dan Pegawai Daerah Kuala Muda, Datuk Khazali
Din.
Projek landasan kereta api berkembar Ipoh- Padang Besar bernilai
RM14.5 bilion itu dibangunkan oleh Konsortium Malaysia Mining Corporation
Berhad dan Gamuda Berhad (MMC-Gamuda).
Berdasarkan perancangan Kerajaan Persekutuan, pelaksanaan projek
tersebut dijangka memberikan kesan limpahan ekonomi dengan Perak
dianggarkan bakal menikmati peningkatan pertumbuhan 8.1 peratus,
Pulau Pinang (6.8 peratus), Kedah (8.7 peratus) dan Perlis (12 peratus).
Mahdzir berkata, Sungai Petani dipilih sebagai stesen transit memandangkan
lokasinya yang strategik dan terletak di tengah-tengah negeri Kedah.
"Apabila adanya projek ini, tentunya banyak pihak yang akan
meraih keuntungan. Bukan saja dari segi peluang pekerjaan, para
penduduk mampu meraih pendapatan melalui perniagaan, pelancongan
dan perkhidmatan sokongan lain," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi BN Kedah berkata, kerajaan
mempunyai tanggungjawab besar untuk memacu ekonomi dan meningkatkan
taraf hidup rakyat negeri Kedah.
Katanya, dalam melaksanakan dasar-dasar dan agenda pembangunan seumpama
itu, kerajaan sememangnya memerlukan sokongan dan mandat daripada
rakyat.
"Oleh itu, kita berharap rakyat akan dapat memberikan sokongan
padu kepada BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-12 ini.
"Ini membolehkan kita dapat meneruskan agenda pembangunan dan
memajukan lagi negeri Kedah pada masa akan datang," jelasnya.
sumber: Utusan |