AMPANG - Kerajaan sudah meluluskan cadangan
pembinaan sebuah lebuh raya bertingkat baru yang bermula di Taman
Kosas di sini dan berakhir di Jalan Istana.
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)
Lembah Jaya, Datuk Ismail Kijo berkata, lebuh raya itu bertujuan
mengurangkan kesesakan di kawasan Ampang.
"Lebuh raya sepanjang 16 kilometer itu dianggarkan bernilai
RM600 juta. Saya difahamkan projek ini akan dimulakan pada tahun
ini.
"Saya percaya, apabila projek ini selesai nanti, ia akan mengurangkan
kesesakan jalan raya di Ampang terutama yang menuju Kuala Lumpur,"
katanya ketika ditemui di sini.
Ketika ini, jalan utama yang digunakan oleh penduduk-penduduk di
sekitar Ampang untuk ke Kuala Lumpur ialah Jalan Ampang dan Lebuh
Raya Bertingkat Ampang.
Katanya, kedua-dua jalan itu terutama Jalan Ampang begitu sesak
pada waktu puncak dan keadaan akan bertambah buruk lagi dalam masa
beberapa tahun akan datang apabila penduduk semakin bertambah.
"Dengan pelbagai pembangunan di kawasan ini, kesesakan dijangka
bertambah buruk dalam masa dua tiga tahun lagi dan jalan alternatif
perlu dibina mulai sekarang.
"Sistem perkhidmatan STAR-LRT yang berakhir di Kampung Melayu
Ampang juga tidak dapat menampung penambahan penduduk ini.
"Laluannya pula sudah tidak dapat dipanjangkan lagi kerana
sudah tidak mempunyai kawasan," katanya.
Dalam pada itu, Ismail berkata, penduduk Ampang sangat beruntung
kerana kerajaan Pusat banyak membangunkan kawasan itu termasuk menyediakan
RM18 juta untuk projek mengatasi masalah banjir.
"Projek yang bermula dengan membina sungai dari Taman Rimba
Ampang di Bukit Belacan sehingga di belakang hotel De Palma kini
sudah siap.
"Malah, sungai itu juga telah diperindahkan dengan pembinaan
waterfront yang bernilai RM13 juta yang kini menjadi pusat perniagaan
yang berdaya maju," katanya.
sumber: Utusan |