TANJONG KARANG 6 Mac - Pelajar Sekolah
Mene- ngah Kebangsaan (SMK) Sungai Burong di sini bakal menikmati
suasana pembelajaran yang lebih selesa apabila projek sekolah baru
di sebuah kawasan berhampiran, siap tahun depan.
Sekolah baru yang dikenali sebagai SMK Parit Tiga itu dibina kerana
tapak SMK Sungai Burong dengan keluasan 0.8 hektar adalah terlalu
kecil dan tidak boleh diperbesarkan lagi untuk menampung lebih ramai
pelajar.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Noh Omar berkata, sekolah baru
bernilai RM8.5 juta di atas kawasan seluas 4.8 hektar itu akan mula
dibina pada pertengahan tahun ini.
Beliau berkata, pembinaan sekolah baru itu bertujuan memberi keselesaan
dan kemudahan kepada para pelajar dan guru-guru seiring dengan penambahan
bilangan pelajar setiap tahun.
"Pihak kementerian sememangnya sudah lama menyedari masalah
yang terdapat di sekolah ini, antaranya tidak mempunyai padang,
bilangan pelajar yang ramai dan kawasan yang sempit.
"Justeru, pembinaan sekolah baru amat diperlukan agar tahap
pencapaian pelajar dapat ditingkatkan berikutan adanya pelbagai
kemudahan pembelajaran yang lebih baik," katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis pecah tanah projek SMK Parit
3, Sungai Burong di sini, hari ini.
SMK Parit Tiga, Sungai Burong bakal dilengkapi blok akademik, pentadbiran,
makmal sains, pusat sumber selain padang bola sepak, gelanggang
sepak takraw, badminton, bola jaring dan trek balapan.
Dua blok bangunan lama SMK Sungai Burong pula akan dijadikan bangunan
tambahan untuk Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Burong yang terletak
di sebelahnya.
Noh memberitahu, sekolah baru tersebut dijangka siap dan mula beroperasi
pada 2010 kerana pembinaannya menggunakan konsep pasang siap.
"Kementerian Pelajaran telah melantik Bintang Kencana Sdn.
Bhd. sebagai kontraktor pembinaan dan kita amat berharap mereka
dapat menyiapkan sekolah ini dalam tempoh yang ditetapkan.
"Kita yakin dengan konsep pasang siap iaitu bahan binaan seperti
tiang, dinding dan lantai dibuat di kilang dan dipasang sahaja di
sini, ia akan dapat disiap dengan cepat," katanya.
sumber: Utusan |