Bahasa Malaysia | English  
Rakyat sambut baik program penjualan rumah PPR

NUR AZWA IBRAHIM dan NORBAIZURA A. NASRUDIEN

KUALA LUMPUR 6 Mac - Dasar Perumahan Rakyat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang membolehkan rakyat berpendapatan rendah membeli rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) yang akan dimulakan bulan ini disambut baik oleh warga kota.

Bagi mereka, peluang memiliki rumah sendiri yang lebih selesa sememangnya dinanti-nantikan, sekali gus membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap golongan tersebut yang kini menyewa di PPR seluruh ibu negara.

Lebih menggembirakan mereka ialah apabila kerajaan memutuskan supaya semua PPR mesti mempunyai tiga bilik tidur berbanding satu atau dua bilik tidur sekarang ini.

Tinjauan Utusan Malaysia di PPR Sri Pulau Pinang di Cheras mendapati, penduduk yang menyewa di situ dengan kadar RM124 sebulan mengalu-alukan langkah positif kerajaan itu.

Seorang pekerja pembersihan, Mohd. Azahari Mohd. Ali, 23, berkata, dia amat gembira dengan langkah kerajaan itu yang juga mencerminkan kepimpinan negara memahami kesusahan penduduk yang terpaksa berhimpit-himpit dalam sebuah rumah yang kecil.

Azahari tinggal di PPR itu sejak 20 tahun dahulu bersama kedua-dua ibu bapanya dan empat orang adik-beradiknya yang lain.

"Rumah kami hanya mempunyai dua bilik iaitu satu bilik untuk ibu bapa saya dan satu bilik lagi untuk abang saya yang bakal berkahwin tidak lama lagi.

"Saya dan tiga orang adik termasuk adik perempuan saya tidur di ruang tamu yang hanya muat-muat untuk kami,'' katanya.

Tambah Azahari lagi, keadaan tersebut juga seringkali menimbulkan masalah jika keluarganya mengadakan kenduri atau pun majlis kerana tidak boleh menempatkan saudara-mara yang datang bertandang.

"Kaum lelaki terutamanya terpaksa berjaga pada waktu malam ataupun mencari dewan dan surau untuk dijadikan tempat tidur,'' katanya yang akan meminta ibu bapanya mendaftar untuk skim perumahan tersebut supaya hidup mereka lebih selesa.

Pekerja restoran, Kwok Chun Kit, 31, berkata, dengan rumah yang mempunyai dua bilik, sukar baginya untuk melakukan sesuatu dengan selesa.

"Saya baru mendirikan rumahtangga tetapi oleh kerana kasihankan ibu dan adik beradik yang lain, saya tidak berpindah rumah.

"Isteri dan ibu saya tidur di dalam satu bilik manakala saya dan dua orang adik saya tidur di satu bilik lagi,'' katanya yang telah kematian ayahnya dua tahun lalu.

Chun Kit juga gembira dengan tawaran pihak kerajaan itu kerana akhirnya dia dan keluarganya akan dapat memiliki rumah sendiri yang lebih selesa.

Seorang surirumah, Zaharah Bodin, 50, berkata, peluang untuk memiliki rumah merupakan perkara yang dinanti-nantikan oleh penduduk berpendapatan rendah.

"Anak-anak saya tidak mempunyai tempat tidur dan terpaksa tidur di ruang tamu yang penuh dengan barang-barang lain.

"Kami sememangnya memerlukan ruang rumah yang lebih besar dan juga tidak mahu terus menyewa,'' katanya.

Beliau yang telah menetap selama 17 tahun di kawasan itu berharap agar proses naik taraf tersebut dapat dijalankan segera.

Pendapat yang sama disuarakan oleh Low Ping Ching, 51, dan katanya, usaha kerajaan untuk menaik taraf rumah PPR merupakan satu hasrat yang murni.

"Kebanyakan penduduk di sini berpendapatan rendah dan kurang berkemampuan. Langkah kerajaan ini akan membantu kami memiliki rumah sendiri, ''katanya.

sumber: Utusan