Bahasa Malaysia | English  
Sungai Siput jadi kawasan pertanian, industri termaju

SUNGAI SIPUT 6 Mac – Setelah membawa pelbagai bentuk pembangunan dan infrastuktur untuk penduduk, Sungai Siput suatu ketika dahulu dikenali sebagai kawasan hitam kini telah bertukar wajah menjadi kawasan pertanian dan industri termaju di Perak.

Kini, Sungai Siput telah mempunyai kemudahan yang diperlukan oleh penduduk seperti hospital, jambatan-jambatan yang indah, pembesaran jalan, sekolah serta pembangunan kawasan di kampung- kampung baru.
Hasil daripada kemudahan yang disediakan membuatkan penduduk Sungai Siput dapat meningkatkan taraf hidup mereka kerana aktiviti perniagaan yang semakin rancak ini membuatkan mereka mempunyai pekerjaan untuk kesejahteraan hidup mereka.

Ia menjadikan seluruh penduduk hidup dalam keadaan harmoni serta bersatu padu dalam kehidupan seharian mereka dan banyak lagi program pembangunan dilaksanakan supaya taraf hidup rakyat akan sentiasa terbela dan meningkat maju.

Kesemua itu dilakukan oleh calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Siput, Datuk Seri S. Samy Vellu yang telah menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput sejak tahun 1974.

Kini, usahanya selepas pilihan raya nanti akan bertumpu kepada pembelaan nasib Orang Asli di kawasan berkenaan.

Menteri Kerja Raya itu berkata, beliau akan meminta kerajaan negeri Perak memperuntukkan tanah baru seluas kira-kira 2,800 hektar bagi masyarakat Orang Asli di kawasan itu untuk diusahakan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

‘‘Tanah baru ini bukannya diberi kepada mereka secara langsung tetapi ditadbirkan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani... tapi mereka Orang Asli ini boleh menggunakan tanah itu untuk tujuan pertanian dan hasilnya boleh dijual ke luar,” katanya di sini.

Samy Vellu berkata, selain itu, beliau juga sedang melihat kemungkinan untuk membesarkan kawasan-kawasan kampung sedia ada, kerana keluasan kampung yang kecil serba sedikit membebankan penduduk dari segi keluasan kediaman mereka.

‘‘Saya mahu minta kerajaan mengambil 20 hingga 24 hektar di mana-mana kawasan ladang berhampiran kampung supaya kampung itu dapat dibesarkan bagi memberi peluang kepada orang kampung mendapat rumah baru,” katanya.

Samy Vellu yang akan genap 72 tahun pada 8 Mac ini berkata, walaupun pihak pembangkang menggunakan pelbagai isu termasuk yang dibangkitkan oleh pertubuhan haram Hindraf baru-baru ini untuk meraih undi, namun beliau masih mendapat sokongan padu daripada masyarakat setempat yang mahukan beliau terus berkhidmat di situ.

‘‘Saya melihat dalam tempoh satu minggu ni, sokongan rakyat amat menggalakkan, sangat baik, tak terjejas,” katanya.
Presiden MIC itu juga telah membawa dana bernilai RM1 juta bagi Pembangunan Intelek Masterskill-MIC Sungai Siput bagi memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang untuk mengikuti pengajian dalam bidang Sains Kesihatan.

Ini membolehkan mereka yang terpilih akan mengikuti kursus berkenaan di Kolej Kejururawatan dan Kesihatan Masterskill dengan biasiswa dan segala kos pengajian ketika menuntut di kolej itu ditanggung sepenuhnya melalui dana tersebut.

Meskipun inisiatif mewujudkan dana ini dilaksanakan oleh Biro Pendidikan MIC, beliau mahu biasiswa ini diperluaskan kepada pelajar cemerlang di kalangan kaum lain juga.

‘‘Saya mahu seramai mungkin pelajar di kawasan Parlimen Sungai Siput mendaftarkan diri dan merebut peluang yang ada di depan mata mereka,” katanya.

Samy Vellu berkata, sejak tahun 2005, institusi pengajian tinggi (IPT) berkenaan telah menawarkan pembiayaan pendidikan bernilai lebih RM8 juta kepada pelajar miskin di seluruh negara dan peruntukan RM1 juta yang disalurkan melalui Biro Pendidikan MIC itu diharap mampu melahirkan lebih ramai lepasan sains kesihatan.

‘‘Saya akan lakukan yang terbaik kepada penduduk di sini dan pengundi tahu apa yang telah saya lakukan sebagai Ahli Parlimen di sini,” katanya.

Sementara itu beberapa penduduk Sungai Siput berkata, kepimpinan Samy Vellu tiada tolok bandingnya.
Abdul Halil Zainal Abidin, 41, berkata, Samy Vellu berjaya membawa banyak perubahan kepada kawasan itu yang dahulunya dikenali sebagai ‘kawasan hitam’ dan kini bertukar wajah kepada kawasan industri dan pertanian moden di Perak.

Katanya, Samy Vellu juga telah menyatupadukan masyarakat pelbagai kaum di kawasan itu melalui aktiviti serta kerja kuatnya dalam mengendalikan politik di kawasan ini.

‘‘Walaupun dia seorang menteri kanan di Kuala Lumpur, dia selalunya akan berada di sini setiap hujung minggu untuk menyelesaikan masalah rakyat. Apa yang menarik, dia tahu nama setiap orang yang ditemuinya dalam kawasan ini. Malah kami begitu mudah untuk berjumpanya,” katanya.

Ketua Pemuda MIC Sungai Siput, Ajaat Kamaldin berkata, khidmat Samy Vellu sebagai Ahli Parlimen Sungai Siput masih diperlukan kerana beliau seorang ahli politik yang berkaliber.

‘‘Apa yang menarik lagi bagi penduduk di sini, mereka boleh menelefon sendiri Samy Vellu untuk mengadu masalah dan esoknya segala permasalahan itu akan diselesaikan. Kami memang menyayangi kepimpinan Datuk Seri Samy Vellu,” katanya.
Kawasan Parlimen Sungai Siput akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Samy Vellu dengan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Dr D. Jeyakumar yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan calon Bebas Nor Rizan Onn.

Sebelum ini, Samy Vellu juga pernah dicabar Jeyakumar pada pilihan raya 1999 dan 2004, namun berjaya ditewaskan, masing-masing dengan majoriti 5,259 undi dan 10,235 undi.

sumber: Utusan