Bahasa Malaysia | English  
Persiapan mengundi lancar

KUALA LUMPUR 6 Mac – Semua kertas dan peti undi sudah pun diedarkan ke pejabat-pejabat pilihan raya negeri bagi memastikan proses Pilihan Raya Umum Ke-12 Sabtu ini berjalan lancar.

Malah, ada pejabat pilihan raya negeri telah pun menghantar peti undi baru lutsinar ke kawasan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) seawal hari penamaan calon pada 24 Februari lalu.

Pegawai dan petugas pilihan raya serta pasukan keselamatan kini menunggu masa untuk digerakkan ke pusat-pusat pembuangan undi yang telah ditetapkan.

Kira-kira 200,000 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) termasuk kakitangan sokongan terlibat dalam persiapan pilihan raya umum kali ini yang melibatkan perbelanjaan RM200 juta.

Sebanyak 214 kerusi Parlimen ditandingi manakala 501 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan dalam pilihan raya umum 8 Mac ini.

Lapan kerusi Parlimen dan empat kerusi DUN telah pun dimenangi tanpa bertanding pada hari penamaan calon dan selepas beberapa calon menarik diri daripada bertanding.

Di KUCHING, Timbalan Pengarah SPR Sarawak, Ruslan Atan berkata, 17,000 pegawai dan petugas SPR negeri itu akan bertugas di pusat-pusat pengundian.

Beliau berkata, hari ini lapan pasukan telah pun digerakkan ke lapan bahagian pedalaman yang sukar dihubungi di negeri ini sebagai persediaan awal.

Katanya, kertas-kertas undi dihantar ke kawasan-kawasan Parlimen menggunakan pengangkutan udara dan darat pada 3 Mac lalu sebelum diserahkan kepada pegawai pengurus SPR kawasan tersebut.

“Peti undi baru telah diagihkan ke semua kawasan sebelum hari penamaan calon pada 24 Februari lalu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Di KUANTAN, Pengarah SPR Pahang, Ismail Mohd. Yusof berkata, semua kertas undi yang dicetak telah diedarkan kepada pengurus-pengurus pilihan raya daerah di seluruh negeri itu.

Beliau bagaimanapun enggan menyatakan tarikh kertas-kertas undi tersebut diserahkan kepada pengurus pilihan raya daerah.

“Mengikut perancangan, semua pengurus daerah akan mengagihkan kertas-kertas undi kepada saluran-saluran pengundian esok.

“Semua kelengkapan pilihan raya pula akan dibawa ke pusat-pusat pengundian pada pagi Sabtu ini,” katanya.

sumber: Utusan