Bahasa Malaysia | English  
Akur keputusan SPR – PM

KOTA KINABALU 5 Mac – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua pihak akur dengan keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang membatalkan penggunaan dakwat kekal pada kuku dalam Pilihan Raya Umum Ke-12.

Perdana Menteri berkata, keputusan SPR itu perlu dipatuhi kerana ia dibuat bagi melancarkan proses pilihan raya umum Sabtu ini.

‘‘Sekiranya penggunaan dakwat kekal tidak dilaksanakan, kita tidak boleh lupakan (batalkan) pilihan raya, kita mesti teruskan,’’ katanya pada sidang akhbar selepas majlis perjumpaan muhibah di Dewan Sekolah Menengah Kian Kok dekat sini hari ini.

Abdullah yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) mengulas keputusan SPR yang membatalkan penggunaan dakwat kekal pada kuku berikutan terdapat pihak tertentu sudah membeli bahan itu di luar negara untuk tujuan menimbulkan kekeliruan mengenai status pengundi.

Perdana Menteri berkata, langkah SPR bukanlah satu penipuan seperti yang didakwa oleh pembangkang.

Beliau menegaskan, kejayaan BN pada pilihan raya sebelum ini adalah berdasarkan mandat yang sah diberi oleh rakyat dan bukan dengan cara menipu.

‘‘Ini bukan kali kedua atau ketiga kita terlibat dalam pilihan raya tetapi dah masuk 12 kali. Kemenangan kita dalam pilihan raya adalah berdasarkan kepada kerja kuat, kepercayaan rakyat dan bukan kerana kita menipu,’’ katanya.

sumber: Utusan