Bahasa Malaysia | English  
Bumiputera digesa rebut peluang di WPI

JOHOR BAHRU 5 Mac – Kaum bumiputera digesa merebut peluang perniagaan dalam Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) yang sedang dilaksanakan oleh kerajaan bagi mempertingkatkan taraf hidup mereka.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kaum bumiputera harus bijak merebut peluang itu dan tidak lagi mengharapkan kerja makan gaji dengan kerajaan.

‘‘Melalui cara itu mereka akan dapat memperbaiki kedudukan ekonomi sekaligus merapatkan jurang perbezaan dengan masyarakat lain,’’ katanya semasa merasmikan program pembangunan usahawan Yayasan Tekun Nasional di Pasir Gudang di sini hari ini.

Beliau berkata, banyak peluang ekonomi akan wujud di WPI dan kerajaan akan membantu usahawan bumiputera yang tahu menggunakan peluang tersebut.

“Kalau dulu kita bagi pinjaman kepada bumiputera berniaga, sekarang ini kita akan bimbing mereka menerajui perniagaan yang mampu memberi pulangan,” katanya.

Menurutnya, antara peluang perniagaan yang tersenarai dalam program tersebut adalah pelancongan, perhotelan, seni reka, animasi dan pembekal makanan.

Khaled berkata, adalah menjadi tanggungjawab Yayasan Tekun Nasional (Tekun) untuk membantu kaum bumiputera yang berminat dalam bidang perniagaan bermula dari peringkat akar umbi.

“Kerajaan tidak hanya memberi perhatian pada golongan korporat tetapi golongan bawahan juga kerana kita mahu orang Melayu berdikari dan sama-sama menikmati pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Bagi memastikan masyarakat Melayu mampu bersaing dalam bidang perniagaan, sebanyak RM162 juta telah diperuntukkan kepada Tekun pada tahun ini.

sumber: Utusan