Bahasa Malaysia | English  
4,000 pegawai KPDNHEP pantau harga mulai 1 April

KUANTAN 5 Mac – Menjelang 1 April ini, seramai 2,000 Pegawai Pemantau Harga Majlis Harga Barang Negara (MHBN) akan memulakan tugas mereka di seluruh negara bagi memantau harga dan membantu kerajaan melindungi kepentingan rakyat terutama golongan berpendapatan rendah.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Mohd. Zain Mohd. Dom berkata, para pegawai berkenaan akan bertanggungjawab memantau harga dan stok hampir 255 barang keperluan pengguna.

Pegawai Pemantau Harga MHBN jelas beliau akan menyokong peranan penting hampir 2,000 lagi pegawai penguat kuasa kementerian ketika ini.

“Berpandukan analisis, MHBN akan menentukan bentuk tindakan yang perlu diambil terutama persediaan untuk menghadapi kemungkinan bekalan sesuatu barang itu terputus di pasaran,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pelantikan 140 Pegawai Pemantau MHBN Pahang, di sini hari ini.

Tambah Mohd. Zain, analisis para pegawai berkenaan akan memastikan kepentingan pengguna dan kerajaan tidak akan terjejas serta membantu mengelakkan situasi kekurangan sesuatu bahan keperluan di negara ini.

Dalam pada itu kata beliau, para pegawai terbabit akan dilantik secara kontrak selama setahun dengan gaji RM1,500 sebulan dan elaun perjalanan maksimum RM300.

“Pemantauan harga ini akan dilaksanakan di premis perniagaan seperti pasar, kedai runcit, pasar raya dan pasar raya besar di seluruh negara meliputi kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Katanya, pada masa ini, semua pegawai yang telah diberikan watikah akan dilatih selama beberapa minggu sebelum mereka memulakan tugas masing-masing.

sumber: Utusan