Bahasa Malaysia | English  
Projek LRT Sri Petaling-Puchong hujung tahun

SUBANG JAYA 4 Mac - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng menyangkal khabar angin bahawa pembinaan jaringan sistem transit aliran ringan (STAR-LRT) dari Sri Petaling ke Puchong yang dijadualkan pembinaannya penghujung tahun ini, tergendala.

Sebaliknya, kata beliau, kajian serta analisis mengenai projek yang dijangka menelan kos lebih RM1 bilion itu telah disiapkan dan kini menunggu masa untuk penawaran tender terbuka.

"Saya ingin jelaskan khabar angin yang mengatakan bahawa projek ini dibatalkan kerana kerajaan mengalami masalah kewangan dan sebagainya, adalah tidak benar," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bagi menjelaskan isu-isu semasa dan dakwaan pembangkang mengenai pembangunan Puchong sempena kempen Pilihan Raya Umum Ke-12 di sini hari ini.

Hadir sama, calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Seri Serdang, Datuk Satim Diman.

Menurut Yeng Peng, projek STAR-LRT itu melibatkan penyambungan landasan sejauh 16 kilometer dari Sri Petaling ke Putra Height melalui lokasi-lokasi strategik di Puchong.

Katanya, ini termasuklah pembinaan hentian di Taman Kinrara, Bandar Kinrara, Puchong Jaya, Tempua, Pusat Bandar Puchong, Bandar Puteri, Puchong Perdana dan Puchong Indah.

Tambahnya, bagi melengkapkan sistem STAR-LRT tersebut, perkhidmatan bas juga akan disediakan yang boleh menampung sejumlah 250,000 orang sehari.

"Ia bakal menjadikan Puchong hab perniagaan dan ekonomi yang setanding dengan Kuala Lumpur dan Petaling Jaya. Ia juga akan mengatasi masalah kesesakan di Puchong," katanya.

sumber: Utusan