Bahasa Malaysia | English  
Sekolah pedalaman dijamin tidak tercicir

SIK 4 Mac – Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein membidas Pas kerana menyebarkan dakyah kerajaan Barisan Nasional (BN) mengabaikan sekolah-sekolah pedalaman sehingga menyebabkan ia ketinggalan berbanding sekolah di bandar.

Beliau berkata, dakwaan tersebut tidak benar kerana BN sentiasa memberikan perhatian serius terhadap pembangunan sekolah di seluruh negara termasuk di luar bandar.

Malah beliau menegaskan, isu pendidikan percuma yang dijaja pembangkang juga tidak timbul kerana ia telah lama dilaksanakan kerajaan.

‘‘Saya ingin memberikan jaminan bahawa semua sekolah kawasan pedalaman diberi perhatian serius supaya ia tidak tercicir dan terus menikmati peluang yang sama dengan sekolah-sekolah di Putrajaya, Kuala Lumpur atau bandar-bandar besar lain,’’ katanya.

Beliau berucap pada majlis perjumpaan bersama warga pendidik daerah Baling/Sik di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Beris Jaya dekat sini hari ini.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, kebanyakan warga pendidik yang ditemuinya di seluruh negara memberi maklum balas positif terhadap dasar pendidikan sedia ada.

Beliau berkata, pendidik juga menaruh harapan agar kerajaan dapat meneruskan agenda bagi membolehkan sektor pendidikan negara berkembang dengan lebih maju pada masa akan datang.

Pada sidang akhbar kemudian, beliau berkata, individu termasuk di kalangan warga pendidik tidak dilarang menceburi politik termasuk menjadi calon pada pilihan raya umum kali ini.

‘‘Kita tidak sekat sesiapa. Tapi saya suka mengingatkan bahawa jika ingin sertai bidang politik, dia mestilah mempunyai agenda jelas dan dapatkan bangunkan sesuatu kawasan.

‘‘Dalam kes calon di sini, walaupun beliau adalah dari kalangan pendidik, namun, apa agenda yang boleh diperjuangkan bagi membantu membangunkan sektor pendidikan?’’ katanya.

Beliau diminta mengulas tindakan Pas mencalonkan bekas Timbalan Pengarah Pelajaran Kedah, Che Uda Che Nik bagi bertanding Parlimen Sik.

sumber: Utusan