Februari 29, 2008
KUALA LUMPUR 29 Feb. – Pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 7.3 peratus bagi suku keempat 2007 menunjukkan kerajaan Barisan Nasional (BN) mengurus ekonomi negara dengan begitu cemerlang selain menggambarkan keyakinan banyak pihak.
Pakar hartanah, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman ketika dihubungi berkata, paras KDNK tersebut akan meningkatkan keyakinan pelabur asing kepada Malaysia.
‘‘Ini juga membuktikan kerajaan BN yang ada sekarang berjaya mengurus ekonomi negara dengan begitu cemerlang.
‘‘Saya percaya pelaburan langsung asing dan sektor ekonomi negara akan berkembang dengan baik ekoran pencapaian KDNK tersebut.
‘‘Ini merupakan pertumbuhan yang baik dan dijangka membawa banyak perkembangan positif kepada negara dan masyarakat,’’ katanya sambil menambah KDNK berkenaan akan meningkatkan pertumbuhan sektor hartanah negara.
Abdul Rahim berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan akhbar semalam tentang KDNK yang mencatatkan pertumbuhan 7.3 peratus bagi suku keempat 2007.
Bank Negara Malaysia (BNM) dalam kenyataannya kelmarin turut menyatakan kesemua sektor dalam ekonomi mencatatkan pertumbuhan kukuh sekali gus menjadikan KDNK benar pada 2007 meningkat kepada 6.3 peratus.
Ditanya mengenai kenaikan harga barangan, Abdul Rahim berkata, kenaikan berkenaan tidak dapat dielakkan kerana ia berhubungkait dengan kenaikan harga minyak mentah dunia.
‘‘Apabila harga minyak dunia naik ia akan menyebabkan pelbagai barangan naik. Jadi kerajaan tidak harus dipersalahkan jika berlaku kenaikan barangan,’’ katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, pertumbuhan tersebut dijangka membuka banyak peluang pekerjaan serta meningkatkan gaji golongan pekerja di negara ini.
‘‘Kuasa membeli masyarakat juga dijangka meningkat ekoran pencapaian KDNK yang ditunjukkan itu.
‘‘Paras KDNK pada tujuh peratus merupakan paras yang cukup baik dan paras melebihi 7 peratus merupakan jaminan kepada pertumbuhan dan kestabilan.
‘‘Bagaimanapun, kerajaan perlu mengawal dan memastikan agar inflasi tidak berlaku,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Utusan Malaysia |