Bahasa Malaysia | English  
Tidak semua boleh diberi percuma - Abdullah

Februari 29, 2008
Oleh: ZULKIFLI JALIL dan ABDUL MUIN SAPIDIN

ABDULLAH Ahmad Badawi dan isteri Jeanne Abdullah (kanan) melihat Pelan Induk Universiti Malaysia Kelantan selepas majlis pecah tanah universiti itu di Tangok, Bachok, Kelantan, semalam.

 

KEPALA BATAS 29 Feb. – Kerajaan tidak boleh memberikan segala-galanya secara percuma kepada rakyat kerana ia boleh mengakibatkan bencana kepada kedudukan kewangan negara, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Sebaliknya, kata Perdana Menteri, kerajaan berusaha untuk mengurangkan beban rakyat ekoran kos sara hidup yang tinggi termasuk menerusi beberapa kemudahan sedia ada yang diberikan secara percuma.

Katanya, dalam bidang pelajaran rakyat telah menikmati pendidikan berkualiti seperti buku teks, yuran persekolahan, makanan tambahan dan uniform sekolah secara percuma.

Di peringkat universiti pula, katanya, kos pengajian telah diringankan daripada kos sebenar. Contohnya, kos sebenar pengajian pelajar kursus perubatan ialah RM250,000 seorang, manakala doktor gigi pula sebanyak RM130,000 seorang.

“Semua kena dibayar tetapi tidak pernah rakyat keluar (tanggung kos) sama banyak yang (sebenar) diperlukan.

‘‘Betul, ini kerja kerajaan (tanggung kos rakyat) tetapi berapa banyak kerajaan yang boleh usaha macam ini. Banyak juga kerajaan yang lingkup tetapi kita (kerajaan Barisan Nasional) kena fikir cari dan tambah hasil serta pastikan ekonomi dijaga baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Ampang Jajar Sungai Muda dan Pelancaran Projek Tebatan Banjir Sungai Muda Fasa II di Kampung Rantau Panjang, Penaga di sini hari ini.

Abdullah mengakui kadangkala sesetengah pihak tidak mahu mengambil tahu apa yang telah kerajaan lakukan untuk kesenangan rakyat meskipun tekad murni kerajaan hanyalah mahu negara ini terus maju dan makmur.

‘‘Sebenarnya inilah peranan kita (kerajaan) mahu jadikan ia lebih baik sebab Allah Taala telah buat baik kepada kita. Justeru, saya harap manusia tahu bersyukur.

‘‘Inilah cara kerajaan sebab kita tahu baik pegawai kerajaan atau alim ulama, mereka juga adalah rakyat yang perlukan pelbagai kemudahan,” katanya.

Selain subsidi minyak, kerajaan turut menyediakan bantuan-bantuan lain dalam bentuk perkhidmatan dengan harga bayaran minimum atau percuma.

Antaranya ialah rawatan perubatan di klinik dan hospital kerajaan, pendidikan di sekolah rendah, menengah dan institusi pengajian tinggi, biasiswa dan pinjaman pelajaran.

Utusan Malaysia