Bahasa Malaysia | English  

Terima kasih cikgu – PM

KEPALA BATAS 28 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu lebih 300,000 guru di negara ini memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya 8 Mac ini bagi memastikan agenda pembangunan pendidikan dapat diteruskan.

Perdana Menteri berkata, guru berperanan penting dalam membantu kerajaan melaksanakan pelbagai dasar pendidikan termasuk pembangunan modal insan yang bermatlamat melahirkan lebih ramai golongan profesional.

Dalam hal ini, katanya, kerajaan komited untuk mengukuhkan sistem pendidikan dengan menyalurkan peruntukan yang besar bagi penyediaan prasarana, pembinaan sekolah, universiti dan pusat- pusat latihan di seluruh negara.

‘‘Kita selalu menghargai sokongan guru yang selama ini banyak membantu kerajaan melaksanakan pelbagai dasar pendidikan.

“Jadi, terima kasihlah kerana membantu kerajaan menjayakan modal insan dan dasar pelajaran. Harap saudara-saudari akan menyokong BN. Insya-Allah, kalau BN menang, kita akan sama-sama cemerlangkan persekolahan kita,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Warga Pendidik Bersama Perdana Menteri di sini hari ini.
Abdullah berkata, kerajaan akan menghadapi pelbagai cabaran pada masa depan dan ia hanya akan dapat diatasi sekiranya rakyat termasuk guru memiliki kekuatan ilmu dan menjadi manusia berintegriti.

Pada masa sama, kata beliau, negara juga memerlukan golongan yang mampu membantu kerajaan merancang dan melaksanakan pelbagai program pembangunan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

‘‘Negara memerlukan orang seperti ini untuk membangunkan negara, sebab itu kerajaan terus tambah prasarana pendidikan dan kita dapat lihat bertambahnya institusi pendidikan berbanding dahulu.

“Inilah pendekatan yang diambil, semuanya kerana kerajaan sentiasa mengutamakan tambah nilai pada kejayaan yang sudah dicapai agar kita terus mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa depan,” katanya.

Abdullah pada sidang akhbar kemudian berkata, kerajaan akan memastikan Pulau Pinang terus menikmati kemakmuran ekonomi sejajar dengan reputasinya sebagai antara negeri termaju di negara ini.

Beliau yang ditanya mengenai dakwaan kononnya ekonomi Pulau Pinang semakin merosot kebelakangan ini berkata, kerajaan akan sentiasa memberi perhatian kepada segala keperluan untuk terus membangunkan negeri tersebut.

“Ini kerana Pulau Pinang akan menjadi pangkalan logistik dalam pelaksanaan pembangunan (Wilayah Ekonomi Utara) yang turut membabitkan Perlis, Kedah dan Perak Utara. Ini sedang kita laksanakan,” katanya.

source: Utusan