|
Barisan Nasional merupakan salah sebuah parti politik pakatan yang paling berjaya di rantau ini. Sejak kemerdekaan negara pada tahun 1957, parti ini telah diberi mandat oleh rakyat untuk memerintah negara ini tanpa diganti.
Barisan Nasional mewarisi amanah kepercayaan serta tradisi yang dirintis oleh PERIKATAN, iaitu sebuah parti yang ditubuhkan oleh penduduk Persekutuan Tanah Melayu bagi memperjuangkan agenda Kemerdekaan negara dari pihak British. Parti politik ini diterajui oleh Tunku Abdul Rahman Putra, bersama Tun Tan Cheng Lock serta Tun Sambanthan, dengan gabungan parti UMNO, MCA serta MIC.
Parti Perikatan, yang kemudiannya dikenali sebagai parti Barisan Nasional, adalah satu formula politik yang unik bagi Malaysia. Ianya adalah satu formula yang telah berjaya menyatukan penduduk yang berbilang agama, budaya serta bangsa, untuk mencipta sebuah negara yang gagah, berjaya dan berwawasan.
Dengan tertubuhnya parti Perikatan, kaum Melayu, Cina serta India telah mengenepikan kepentingan kaum semata-mata, bagi memperjuangkan sebuah matlamat yang dikongsi bersama – iaitu Kemerdekaan dari pihak British. Berikutan kejayaan di pilihanraya kecil pada tahun 1952, parti Perikatan telah terus mencapai kejayaan demi kejayaan dengan sokongan padu rakyat. Akhirnya, parti Perikatan memenangi 51 daripada 52 buah kerusi yang dipertandingkan dalam Pilihanraya Umum yang diadakan pada 27 Julai 1955.. Seterusnya, parti Perikatan meraih 72 daripada 104 buah kerusi yang dipertandingkan sewaktu Pilihanraya 1959. Begitu juga pada tahun1964, parti Perikatan telah memperkukuhkan lagi kejayaannya (89 daripada 104) dan seterusnya pada Pilihanraya Umum pada tahun 1969 (74 daripada 144 kerusi).
Matlamat unggul rakyat akhirnya tercapai pada malam 30 Ogos 1957, apabila bendera Union Jack akhirnya diturunkan, dan bendera Jalur Gemilang dikibarkan buat pertama kali di Padang Kelab Selangor, sebagai symbol Kemerdekaan rakyat Malaya. Keesonkan harinya, lahirlah sebuah negara baru apabila Tunku Abdul Rahman melaungkan Kemerdekaan Malaya di Stadium Merdeka. Dengan itu, negara ini menempa nama sebagai salah sebuah negara yang berjaya memenangi kemerdekaannya secara aman, berpandukan proses politik yang aman. Dengan kemerdekaan ini, parti Perikatan telah diberi mandat untuk menubuhkan kerjaaan yang pertama, diketuai oleh Tunku Abdul Rahman sebagai Ketua Menteri yang pertama. Beliau kemudiannya melantik Menteri-Menteri Kabinet yang terdiri daripada para pemimpin yang berbilang kaum di Malaya.
Secara beransur-ansur, pakatan politik yang terdiri dari pelbagai parti ini dikenali secara rasminya sebagai BARISAN NASIONAL (BN), dan didaftar secara rasminya pada 1 Julai 1974. Kini BN terdiri daripada 14 buah parti termasuk UMNO, MCA serta MIC. Dengan kepercayaan tekal kepada kesaksamaan hak, keadilan BN tercermin oleh jumlah wakil yang sama dari setiap parti komponen di dalam Majlis Tertinggi BN – tiga bagi setiap parti – tanpa mengira saiz atau jumlah ahli parti-parti tersebut. President bagi setiap parti komponen memegang jawatan Naib Pengerusi, kecuali Presiden UMNO yang menyandang jawatan Pengerusi. Setiap keputusan yang diambil oleh Majlis Tertinggi BN, iaitu forum parti yang tertinggi sekali, dicapai menerusi persetujuan semua. Tanpa persetujuan mutlak dalam hal-hal seperti manifesto parti, keahlian parti komponen, atau isu-isu lain yang sensitif, keputusan akhir tidak akan tercapai. Inilah antara ciri-ciri unik parti BN yang menjadikannya sebuah jentera yang lebih gagah, berkesan serta praktikal bagi perjuangan di Malaysia.
Sejak Pilihanraya Umum 1955, BN terus menerima sokongan serta kepercayaan rakyat negara baru pada waktu itu. Pada tahun 1974, ianya memenangi 135 daripada 154 kerusi yang dipertandingkan; pada Pilihanraya Umum 1978 ianya memenangi 130 daripada 154 kerusi; pada Pilihanraya tahun 1986 ianya merangkul 148 daripada 177 kerusi; dan pada Pilihanraya tahun 1990, ianya memenangi 127 daripada 180 kerusi yang dipertandingkan. Rakyat terus menerus memberikan sokongan padu menghasilkan kemenangan majoriti lebih dari dua pertiga kepada BN, membolehkan parti ini meneruskan rekod kemenangannya sejak tahun 1955. Dengan kestabilan politik ini negara dianugerahkan kestabilan ekonomi serta pembangunan yang berterusan sepanjang 50 tahun di bawah kerajaan pimpinan BN.
|
 |